Wednesday, July 8, 2009

MARHABAN DAN BERZANJI: CUNGKIL BAKAT GOLONGAN MUDA

TAHNIAH saya ucapkan kepada pasukan marhaban dari Masjid Kampung Sempang kerana muncul johan Pertandingan Marhaban dan Berzanji Peringkat Masjid DUN Serkam yang diadakan di Masjid Umbai pada 4 Julai lalu.

Kemenangan itu membuktikan acara itu masih mendapat tempat di jiwa masyarakat khususnya di DUN Serkam yang dilihat amat cinta kepada ayat yang memuji Junjungan Mulia, Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam masa sama, JAPERUN Serkam tetap berusaha untuk menarik minat golongan muda untuk menyertai pertandingan seumpama ini. Sebab itu, saya berhasrat untuk mengadakan acara seperti ini membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah supaya ia dapat diamalkan, sekali gus menambah keberkatan hidup hasil daripada memuji Rasulullah S.A.W.

Harapan besar ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya jika semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya untuk melaksanakannya.

Diharap, segala perancangan baik ini akan mendapat keberkatan Allah S.W.T hendaknya. Insya Allah..

Tuesday, July 7, 2009

PERPECAHAN PAKATAN RAKYAT: SALAHKAN ORANG LAIN AMALAN MEREKA

MB KEDAH AZIZAN RAZAK BERKATA
"Kalau mereka nak keluar, saya nak kata apa. Kalau (DAP) nak kata kurang (diberi) layanan pun, apakah layanan yang mereka maksudkan kerana setahu saya, kerajaan negeri telah beri layanan baik untuk semua," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

ANWAR IBRAHIM PULA MENJAWAB
"Ini media, surat khabar saudara yang bangkitkan. Kalau dalam Barisan Nasional, banyak perbezaan dalam banyak perkara tetapi tak pula diperbesarkan. Pakatan Rakyat ini pakatan miskin (yang) tak ada media yang besar. Itu bezanya," kata kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

KATA THOMAS SU PULA
“Kami bukan main-main “. Tindakan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang negeri ini adalah serius dan bukan diperbesar-besarkan media seperti yang didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su berkata, keputusan tersebut muktamad setelah kesemua ahli DAP negeri sebulat suara bersetuju untuk bertindak sedemikian.

NIK AZIZ PULA LEPAS TANGAN DENGAN BERKATA
“Itu masalah negeri, saya tak tahu, terserahlah kepada Kedah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini

Yang mana betul? Siapa yang benar dalam perkara ini? Kenapa mereka tuduh menuduh dan lepas tangan ketika masing-masing mendakwa masih ada `power' dan sokongan untuk memimpin rakyat? Sama-sama kita fikirkan..

Saturday, July 4, 2009

NIK AZIZ, `FATWA' DAN PENYOKONG MUAWIYAH

PENGURUS Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Tuan Aziz, 39, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, pada satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di sini.

Apapun, atau siapapun yang akan menjadi calon BN berdepan Pas, tidak menjadi masalah. Yang penting bangsa Melayu kini sudah boleh melihat bagaimana sikap pemimpin pas, terutama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz membuat bermacam-macam tuduhan terhadap Umno dan pemimpin BN kerana mahu menutup kelemahan diri dan pentadbirannya. Nik Aziz hanya menonjolkan benda yang remeh temeh dan tidak mengemukakan dasar yang lebih besar seperti dasar pembangunan ekonomi Islam untuk mengubah taraf hidup rakyat Kelantan.

Nik Aziz dulu ketika menjadi ustaz Sekolah Maahad Muhammadi pada awal tahun 60-an adalah seorang yang pelembut. Selalu bernada rendah, peribadinya seorang pendakwah tulen. Tidak pernah ada kata-kata kasar yang dikeluarkan. Sikapnya pendiam, tenang dan senyum.

Tetapi, selepas menceburi dunia politik dan kemudian menjadi MB, sikap dan keperibadian Nik Aziz terus berubah. Setiap kata-katanya dianggap fatwa yang perlu dipatuhi. Hanya kata-kata beliau saja benar dan boleh dipatuhi oleh umat Islam.

Hingga lah suatu ketika dulu, Nik Aziz yang bergelar Tok Guru dan ulama itu mengharamkan wanita mengambil bahagian dalan tilawah al-Quran kerana mengikut 'fatwa' beliau suara wanita adalah aurat. Inilah antara contoh 'fatwa' seorang Tok Guru.

Bagi orang yang boleh berfikir, mereka tidak akan mengikut 'fatwa' itu kerana jika 'suara wanita adalah aurat' maka semua guru wanita, pensyarah wanita atau semua wanita tidak boleh bekerja kerana mereka terpaksa berkomunikasi dengan orang ramai menggunakan suara dan mengikut 'fatwa' Nik Aziz, suara wanita adalah aurat.

Kini, dalam pilihan raya kecil manek Urai, Nik Aziz mengeluarkan pula bermacam-macam 'fatwa' hingga mengatakan BN dan Umno adalah komunis atau pengamal ajaran sesat. Memang cara paling mudah dalam politik Pas ialah meluap-luapkan emosi penyokongnya. Mudah dan murah. Cuma akibatnya umat Islam ketinggalan dalam kecetekan yang tak pernah matang.

Ingatlah sejarah lampau: Terpengaruhnya penyokong Muawiyah dengan propaganda Muawiyah dalam menjatuhkan Saiyidina Ali r.a hanya melalui sepotong ayat al-Quran daripada Surah Al-Isra' 33: "Dan barangsiapa terbunuh secara teraniaya, maka sesungguhnya kami berikan kepada walinya kekuasaan, tetapi janganlah ia membunuh secara melanggar batas."

Lalu Muawiyah dengan menggunakan firman di atas mendakwa Ali bin Abi Talib tidak berhak menjadi khalifah, kerana dialah (Muawiyah) 'wali' ahli waris Osman bin Affan yang dibunuh.

Kata Ali bin Abi Talib: "Sebenarnya tidaklah Muawiyah lebih bijak daripada aku sepertimana kata orang yang kudengar. Bahkan aku tidak sanggup mengalahkan agamaku demi nafsuku."

Memang suatu trajedi apabila seorang Muslim yang baik dihadapkan dengan pilihan sama ada meraih kemenangan politik atau menyelamatkan imamnya.

Maka umat Islam khususnya majoriti bangsa Melayu di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya perlu ingat mengenai perpecahan yang dibawa oleh pemimpin Pas.

Saya percaya ada di kalangan pemimpin Pas kini sudah tidak lagi dapat menerima cara politik Nik Aziz.

Thursday, July 2, 2009

TERBUKTI MELAKA TERBAIK

SAYA mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka kerana berjaya mentadbir Melaka dengan cemerlang. Ia terbukti dengan rencana di akhbar Utusan Malaysia keluaran 1 Julai 2009.

A+ kepada Melaka Kota Warisan Dunia!

Oleh Zaini Hassan

SETELAH sekian lama tidak keluar dari kota kosmopolitan Kuala Lumpur - yang penuh sesak dengan jalan-jalan berlubang dan sudah kurang serinya lagi, saya mengambil keputusan bercuti ke Melaka hujung minggu lalu.

Ke Melaka dengan memandu secara santai hanya memakan masa kira-kira sejam setengah. Tidaklah hebat sangat mengambil keputusan bercuti bersama keluarga ke negeri itu. Kali terakhir saya ke Melaka ialah kira-kira empat tahun lalu. Apa yang istimewanya Melaka? Tiada istimewa pun - asyik-asyik Kota A‘Farmosa, panjat Bukit St. Paul dan berjalan ke bangunan rumah kedai bercat merah di Jonker Walk menghala ke The Stadthuys.

Di tepinya ialah Sungai Melaka yang mengalir lesu dan berbau tengit. Di sepanjang sungai itu berderetan bontot kedai-kedai lama Cina yang hodoh, kotor dan tiada apa yang istimewa pun.

Petang Jumaat lalu, dari rumah saya di Shah Alam, saya mengambil lebuh raya PLUS dan memasuki ke tol Alor Gajah. Sampai di bandar Alor Gajah pada kira-kira pukul 8 malam, saya teruja melihat bangunan rumah kedai di pekan itu dipasang dengan jaluran lampu yang mengikuti bentuk bangunan itu. Pokok-pokok di tepi-tepi jalanan diselaputi neon-neon. Terdetik di hati, cantiknya. Pertama kali saya sampai ke situ pada waktu malam.

Sampai di Tanjung Kling, saya daftar masuk ke sebuah pusat peranginan menghadap Selat Melaka di Pantai Klebang dan bermulalah percutian saya di negeri Hang Tuah yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masihi.

Melaka bagi saya bukan seperti empat tahun lalu. Ia sudah berubah. Tergerak di hati saya untuk menulis di ruangan ini kerana Melaka telah berubah. Ia berubah 360 darjah daripada beberapa tahun lalu.

Nampaknya semua orang buat kerja - kerja keras. Dari atas sampai ke bawah, dari orang atasan sampai ke orang bawahan semuanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka. Orang Melaka sangat berbangga dengan negeri mereka.

Kampung-kampungnya tersusun rapi dan tiada semak samun dan belukar yang menyakitkan mata seperti di negeri-negeri lain. Terus terang saya katakan Melaka lain dari negeri-negeri lain. Semuanya tersusun.

Layak saya takrifkan, Melaka ialah negeri termaju dalam lingkungan negeri-negeri di Malaysia yang masih lagi ketinggalan. Tidak hairanlah Melaka berani meletakkan motonya sebagai Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia.

Sepanjang jalan di Melaka dari Alor Gajah hingga ke Banda Hilir dan ke Air Keroh saya kagum melihat tiada sampah sarap bersepah yang menyakitkan mata, atau jalan-jalan berlubang yang banyak di Kuala Lumpur. Tiada tanda-tanda jalan yang mengelirukan. Semuanya sempurna.

Pada malam Sabtu, buat pertama kalinya saya menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot dari jeti di Dataran Quayside. Kawasan itu telah melalui transformasi yang amat menakjubkan. Gudang-gudang lama di situ telah diubah moden. Kesan-kesan kota lama yang diekskavasi dipelihara dengan baik.

Terpesona saya menyusuri sungai yang mengambil masa pergi balik selama 45 minit. Saya berasa seperti bukan berada di Malaysia, tapi di mana-mana di negara maju lain. Lampu-lampu berwarna-warni diperkayakan di sepanjang perjalanan itu. Sampai di satu tempat bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut menari di tepi tebing sungai itu.

Terlalu unik melihat rumah-rumah Melayu dihiasi cahaya lampu, yang bilnya ditanggung oleh kerajaan. Bagi saya apa yang dilakukan ini bukan membazir, tapi dibayar balik oleh pendapatan industri pelancongannya yang hebat.

Pak Hassan, pemandu bot kami bercerita mengenai kisah-kisah bangunan lama dan beliau mengimbau kami ke zaman silam Melaka yang terlalu kaya sejarahnya. Dari pokok Melaka di tepi sungai kepada projek membawa roda feri Eye of Malaysia dari Taman Tasik Titiwangsa, Menara Taming Sari yang menjadi tarikan terbaru hinggalah kepada pokok bakau yang dipelihara, yang pada siang harinya kita boleh melihat biawak makan - makanan yang turut dibiayai oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong, sambil memandu bot pelancong ala di Sungai St. Antonio, Amerika Syarikat itu bercerita bagaimana kerajaan negeri akan mengubah bahagian belakang bangunan rumah kedai itu menjadi bahagian hadapan menghadap ke muka sungai

Di tepi sungai itu akan dijadikan pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Tiang-tiang untuk projek monorel telah pun dibina. Kampung Jawa, katanya yang kelihatan usang akan diambil alih dan dimajukan oleh saudagar dari Arab.

Membandingkan empat tahun lalu dengan apa yang ada hari ini, saya percaya semua kata-kata Pak Hassan itu. Apa yang beliau katakan itu akan menjadi kenyataan.

Beliau juga tidak lokek apabila membawa kami hingga ke kunci air yang dibina, bagi menunjukkan bagaimana sungai itu sentiasa dipenuhi air walaupun pada waktu air surut. Sebahagian daripada sungai itu ialah buatan manusia. Pada satu-satu masa, paras air sungai ialah pada ketinggian 14 kaki, cukup tinggi untuk aktiviti pelancongan air yang aktif dijalankan di sungai itu. Di tebing sungai seberang dari jeti Quayside, projek pembinaan hotel lima bintang sedang rancak dijalankan.

Terlalu bernilai cerita-cerita yang disampaikan oleh Pak Hassan, pesara kakitangan Jabatan Perikanan Klang itu. Perjalanan menyusuri sungai itu terlalu berbaloi dengan harga tambang RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. “Letih tapi seronok, hari ini saja saya dah bawa lebih 15 trip,” katanya puas.

Keesokan hari (Ahad) sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami sekali lagi singgah di Banda Hilir dan melawat beberapa tempat lazim di situ. Ternyata semuanya amat memuaskan. Bersih sungguh. Tindakan kerajaan Melaka membangunkan Dataran Pahlawan, misalnya amat bijak sekali. Di atasnya ialah padang yang bersejarah itu, di bawah ialah bazar dan mall perniagaan. Perlu direkod di sini, hanya dua perkara yang sedikit menghampakan. Pertama, kesesakan trafik di tengah bandar raya. Dan kedua, harga makanan di restoran kampung Melayu yang terlalu ‘mencekik darah’ - walaupun asam pedasnya memang sedap.

Selain itu, ternyata pentadbiran Melaka berjaya mengubah sebuah negeri itu menjadi pusat tarikan pelancongan yang berjaya. Pembangunan Melaka yang asalnya dimulakan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini dirancakkan oleh ketua menteri yang kreatif dan inovatif, Datuk Ali Rustam.

Kita syorkan para pentadbir negeri, perancang bandar yang terlalu kerap ke luar negara untuk melihat negara orang, melakukan lawatan sambil belajar ke Melaka. Contohilah pengurusan taman dan sampahnya yang dilihat terlalu tersusun. Perancangan infrastruktur pelancongannya yang begitu sistematik.

Jika Melaka boleh mengapa Kuala Lumpur tidak boleh? Mengapa Sungai Klang dibiarkan lesu dan kotor sedangkan ia boleh dijadikan laluan river cruise dari KL ke bandar diraja Klang; sama seperti yang berlaku di Sungai Melaka? Mengapa Padang Kota Lama di Pulau Pinang terlalu membosankan - dengan gerai mee sotong di tepinya masih daif sama seperti puluhan tahun lalu? Mengapa Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu yang diberi nama Bandar Raya Islam terlalu kotor dengan tikus-tikus mondok yang menjijikkan?

Melaka tidak cainnotophobia (disebut: kain no to fobia). Pemimpinnya tidak takut atau fobia kepada pembaharuan atau tidak takut mencipta sesuatu yang baru.

Tidak perlu menamakan ia sebagai Islam atau tidak, atau pun ditadbir oleh seorang ulama atau tidak. Ia semuanya datang dari seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan mahu melihat kecantikan untuk membangunkan negerinya.

Walaupun Melaka sebuah negeri kecil, tapi hati orangnya waja. Syabas Melaka!

PERTANDINGAN MARHABAN DAN BERZANJI ANTARA MASJID PERINGKAT DUN SERKAM

SAYA mempelawa seluruh umat Islam DUN Serkam memeriahkan Pertandingan Marhaban dan Berzanji Antara Masjid Peringkat DUN Serkam yang akan berlangsuing pada 4 Julai 2009, di Masjid Al-Khautsar, Kampung Umbai.

Pertandingan itu akan bermula jam 6.00 petang hingga 11.30 malam.

Sebanyak 7 pasukan akan bersaing dalam pertandingan itu. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi Pejabat JAPERUN Serkam 06-2631172.

Tuesday, June 30, 2009

SUMBANGAN UNTUK KELUARGA ALLAHYARHAM RAUF

SAYA amat terharu dengan nasib yang bakal ditempuh semua anak Allahyarham Rauf Maidin yang masih kecil dan mengharapkan kasih sayang seorang bapa. Namun, semua itu kehendak Allah dan sudah pasti Allah lebih menyayangi Allahyarham.

Justeru, saya bersama beberapa pegawai Majlis Agama Islam Melaka berkunjung ke rumah Allahyarham untuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang perbelanjaan kepada keluarga Allahyarham.


Dalam masa sama, MAIM turut bersetuju menghulurkan sumbangan makanan bulanan kepada keluarga itu selain bantuan persekolahan kepada anak mereka yang masih bersekolah. Saya difahamkan, beberapa pihak turut bersetuju untuk membantu keluarga berkenaan. Saya berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan itu.


Saya harap, insan seperti keluarga ini terus menerima bantuan daripada semua pihak bagi memastikan beban yang ditanggung mereka dapat diringankan.

Monday, June 29, 2009

TAKZIAH KELUARGA ALLAHYARHAM RAUF MAIDIN

SAYA mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Rauf Maidin yang telah kembali kerahmatullah selepas ditemui lemas di perairan Pulau Besar, petang semalam.

Saya berharap, seluruh ahli keluarganya dapat bersabar dan menerima kenyataan kehilangan orang tersayang. Sama-sama kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat kejadian bot karam membabitkan Allahyarham dan rakannya, Abdullah Abu atau Berahim.

Pasukan itu ialah Polis, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Anggota Komando Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kerja Raya, JKKK Umbai, Persatuan Nelayan Umbai, nelayan tempatan dan sekitar Umbai serta semua pihak yang bersama-sama melancarkan operasi berkenaan.

Tidak lupa kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang sudi meluang masa melawat tempat kejadian.

Hanya Allah yang membalas budi dan jasa baik tuan semua.