Tuesday, April 14, 2009

PEMBANGUNAN SEIMBANG DI DUN SERKAM





SAYA telah ditemubual di stesen radio Melaka FM, pagi tadi (Selasa, 14 April 2009) mengenai pelaksanaan projek pembangunan di DUN Serkam sejak dipertanggungjawabkan untuk berkhidmat di kawasan ini bermula Mac tahun lalu.


Menerusi program temu bual bersama juruhebah Melaka FM, Azahari Mohd Yatim dan Daim Zainuddin itu, saya telah menerangkan mengenai pelaksanaan projek pembangunan seimbang yang telah saya bersama-sama rakan-rakan dalam DUN ini rangka bagi memastikan penduduk merasai nikmat kemajuan yang dikecapi negara ketika ini.


Berikut adalah fakta semasa ditemubual di stesen radio berkenaan.


KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam mempunyai keluasan kira-kira 46.53 kilometer persegi dengan jumlah penduduknya seramai 26,245 orang. DUN Serkam mempunyai 12 kampung tradisional merangkumi 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


PROJEK PEMBANGUNAN

SEJAK diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk memimpin dan mentadbir


DUN Serkam bermula Mac tahun lalu, pelbagai usaha pembangunan dirancang bagi memastikan penduduk pelbagai kaum di kawasan ini merasai bersama nikmat kemajuan yang dikecapi negara.


1. PROJEK PEMBANGUNAN PRODUK PELANCONGAN (HOMESTAY)


SEBAGAI sebuah kawasan yang berpotensi dalam bidang pelancongan, DUN Serkam akan memberi tumpuan kepada produk sedia ada iaitu Homestay. Di DUN Serkam, Homestay Pulai Desaku Permai dikenal pasti sebagai sebuah organisasi paling aktif di negeri ini apabila berjaya menaikkan nama Melaka dan Serkam di peringkat lebih tinggi.


Sejak mula ditubuhkan pada tahun 1997, Homestay Pulai Desaku Permai berjaya menarik lebih 5,000 pelancong dalam dan luar negara termasuk dari Jepun, Australia dan Korea. Terbaru, Homestay Pulai Desaku Permai menerima kunjungan 50 pelajar dari Universiti Malaya serta 40 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mahu mendalami kegiatan dan cara kehidupan masyarakat kampung.


Sehingga kini, Homestay Pulai Desaku Permai disertai 35 peserta, bukan saja dari Kampung Pulai, malahan juga dari kampung berhampiran seperti Seri Minyak, Umbai dan Serkam Darat.


2. PROJEK PEMBANGUNAN PRODUK PELANCONGAN (IKAN BAKAR)



SEJAJAR dengan populariti Serkam sebagai pusat pengeluar makanan berasaskan makanan laut, Medan Ikan Bakar kini menjadi antara mercu tanda paling gemilang, bukan saja di Melaka, malah di seluruh negara.


Antara paling popular adalah Medan Ikan Bakar Serkam yang mula diwujudkan sejak tahun 50-an hingga kepada pengwujudan Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) di Umbai Baru yang siap dibina pada 2004. Di Serkam saja, terdapat empat medan ikan bakar yang popular iaitu Medan Ikan Bakar Serkam, Medan Ikan Bakar Umbai, Medan Ikan Bakar Anjung Batu dan Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai Baru.


PIBT yang diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Melaka Holdings (PMH) adalah paling ramai dikunjungi pengunjung khususnya pada hujung minggu dan cuti umum kerana selain mempunyai pelbagai juadah menarik, lokasinya strategik dan kecekapan pihak pengurusan menyediakan pesanan pelanggan.


Sehubungan itu, satu lagi kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai medan ikan bakar ialah Pantai Siring di Kampung Pulai.


3. PROJEK PEMBANGUNAN JALAN PERSISIR PANTAI


BAGI mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, selain memberi peluang kepada pengusaha produk makanan di persisir pantai sekitar DUN Serkam, Kerajaan Negeri juga sudah bersetuju untuk membina Jalan Persisiran Pantai yang menghubungkan antara Bandar Melaka ke kawasan ini.


Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan projek terbabit dari Jalan Syed Abdul Aziz ke Kampung Limbongan sejauh 2.4 kilometer. Justeru, jalan sambungan bermula dari Padang Temu hingga ke Merlimau sepanjang kira-kira 8 kilometer akan diteruskan bagi kemudahan semua.


4. PROJEK PEMBANGUNAN KAWASAN PERINDUSTRIAN PRODUK MAKANAN HALAL SERKAM, MELAKA


SATU lagi mercu tanda bagi DUN Serkam ialah kewujudan Kawasan Perindustrian Produk Makanan Halal Serkam, Melaka atau dikenali sebagai Hab Halal.


Sebuah kawasan seluas 127 ekar telah dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Serkam untuk tujuan berkenaan. Daripada jumlah keluasan itu, 47 ekar dibangunkan untuk Fasa I, manakala selebihnya iaitu 80 ekar untuk Fasa II.


Selain lot-lot tanah yang ditawarkan, PKNM dengan sokongan peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) telah mendirikan kilang-kilang kembar dan rumah-rumah kedai untuk disewa oleh syarikat serta inividu yang berminat.


Kawasan Perindustrian Serkam adalah tapak perindustrian pemprosesan produk halal yang terletak dalam kawasan Serkam. Antara insfrastruktur yang disediakan ialah sistem pengaliran yang baik, kolam takungan pencegahan banjir, perkhidmatan telekomunikasi serta bekalan eletrik yang mencukupi.


Industri : Kawasan Perindustrian Serkam

Mukim/Daerah : Serkam, Merlimau, Melaka

Keluasan : 127 ekar @ RM10.00 s.k.p

Jumlah Lot : 197 Lot

Lot Dijual : 15 Lot

Lot Kosong : 182 Lot


Dengan gabungan kepakaran, pengetahuan dan kemahiran yang ada, kawasan perindustrian ini akan dapat menarik minat pelabur, pekilang, penyelidik, pembangunan perkhidmatan dan usahawan tekno. Diharapkan pada masa hadapan akan terdapat kilang yang dapat mempelbagaikan keperluan makanan harian di kawasan umum bagi memenuhi permintaan dan kemudahan di samping mengawal kualiti makanan tersebut.


Dengan adanya Hab Halal ini, secara tidak langsung bakal menjadikan Serkam sebagai pusat pengeluar makanan halal terbesar di Negeri Melaka.


5. SERKAM SEBAGAI PENGELUAR TELUR TERBESAR DI MALAYSIA


SERKAM, ketika ini bukan saja terkenal sebagai pengeluar produk makanan berasaskan makanan laut seperti ikan bakar, malahan juga menjadi kawasan ternakan ayam telur serta pengeluar telur ayam terbesar di negara ini.


Pada tahun 2008 saja, industri ayam penelur telah menyumbang sebanyak 2.0 bilion biji telur ayam dengan nilai RM0.6 bilion. Pencapaian ini amat membanggakan dan diharap ia menjadi contoh kepada negeri lain, khususnya dalam bidang ternakan ayam telur seperti ini.


6. PROJEK PEMBANGUNAN KUALA NELAYAN


KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM15 juta bagi projek pembangunan empat (4) kuala nelayan di sekitar DUN Serkam membabitkan Kuala Umbai, Kuala Pantai Siring di Kampung Pulai, Kuala Serkam Pantai dan Kuala Sempang Pantai.


Daripada jumlah berkenaan, RM6 juta diperuntukkan untuk pembangunan Kuala Umbai, RM2 juta bagi pembangunan Kuala Sempang Pantai, manakala Kuala Pantai Siring dan Kuala Serkam Pantai masing-masing diperuntukkan sebanyak RM3.5 juta.


Sehubungan itu, penduduk DUN Serkam berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang amat prihatin dengan soal pembangunan masyarakat nelayan di kawasan ini.


7. PROJEK PEMBANGUNAN RAKYAT


BAGI projek pembangunan rakyat, Kerajaan Persekutuan, melalui Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan berjuta ringgit semata-mata untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa di bumi bertuah ini.

Pembangunan itu termasuklah projek bagi kemudahan insfrastruktur asas (PIAS) bernilai RM1.2 juta, membabitkan pembinaan longkang konkrit, penurapan jalan serta menaik taraf parit sedia ada kepada yang lebih baik bagi mengelakkan kejadian banjir kilat daripada terus membelenggu masyarakat.


8. PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA


MEMANG tidak dinafikan golongan belia berperanan besar dalam proses pembangunan di kawasan ini. Di DUN Serkam saja, terdapat 11 persatuan belia yang aktif dalam pelbagai aktiviti.


Bagi memastikan golongan ini sentiasa diberi perhatian, beberapa aktiviti sedang dilaksanakan dan dirancang. Antaranya ialah Pertandingan Bola Sepak DUN Serkam yang diadakan sepanjang tahun. Turut akan diadakan ialah Pertandingan Bola Tampar, Bola Jaring dan Sepak Takraw yang akan bermula pada Mei hingga Jun. Semua aktiviti itu akan berlangsung menerusi Kelab Sukan Komuniti DUN Serkam.


9. PROJEK PEMBANGUNAN KEAGAMAAN DAN PENDIDIKAN


BAGI melaksanakan pembangunan secara seimbang, DUN Serkam juga memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan keagamaan. Antara yang ialah membina baru bangunan dua tingkat Sekolah Rendah Agama, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Kampung Tedong bernilai RM1.2 juta.


Selain itu, kerja-kerja menaik taraf bangunan Sekolah Rendah Agama Berangan Enam bernilai RM150,000.00. Turut dinaik taraf ialah Sekolah Rendah Agama Al-Falah, Serkam Timur (RM190,000.00), Masjid Sempang (RM50,000.00), Masjid Paya Tanjung (RM40,000.00) serta Masjid Serkam Darat (RM40,000.00).


Kerajaan, melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) juga menyalurkan peruntukan berjumlah RM680,000 sepanjang tahun lalu bagi melaksanakan projek pembangunan insfrastruktur demi keselesaan penduduk.


10. PROJEK PEMBANGUNAN PERUMAHAN


DALAM sektor perumahan, Serkam kini mempunyai 16 buah taman perumahan yang dibangunkan pihak kerajaan dan swasta iaitu : -


Taman Panglima Pak di Sempang

Taman Seri Sempang

Taman Seri Serkam

Taman Serkam Jaya

Taman Serkam Baru

Taman Serkam Maju

Taman Koperasi

Taman Pulai Jaya

Taman Datuk Haji Ab Aziz Pulai

Rumah Awam Pulai

Taman Datuk Haji Ab Aziz Pulai Fasa II

Taman Pulai Indah

Taman IKS Pulai /Serkam

Taman Pahlawan

Taman Bukit Tembakau

Taman Balkis di Bukit Tembakau


Bagi menampung permintaan ramai berikutan peningkatan jumlah penduduk, pihak kerajaan bakal membina 170 unit rumah kos rendah di Taman Pulai Indah bagi Fasa II tidak lama lagi. Pembinaan itu membabitkan kawasan seluas 12 ekar.


11. PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN


DALAM usaha membasmi kemiskinan, khususnya di DUN Serkam, kerajaan telah menyalurkan bantuan membina rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Untuk DUN Serkam saja, bagi tahun 2008, sejumlah RM600,000.00, membabitkan 61 buah rumah. Daripada jumlah itu, 16 unit rumah diluluskan untuk dibina baru, manakala 45 unit lagi diluluskan untuk dibaiki


Sementara itu, sehingga 2 April lalu, kerajaan sudah membelanjakan RM159,000.00 untuk membina 2 rumah PPRT baru dan membaiki 16 rumah.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu masyarakat kurang berkemampuan di DUN Serkam bagi menaik taraf kehidupan mereka. Sehingga bulan ini (April), JKM sudah membantu 664 penerima di DUN Serkam dengan jumlah RM154,030.00 sebulan. Bantuan itu membabitkan Bantuan Am Negeri bejumlah RM39,930.00, Bantuan Am


Persekutuan (RM14,130.00), Bantuan Kanak-Kanak (RM46,550.00), Bantuan Orang Tua (RM51,300.00), Elaun Pekerja Cacat (RM32,100.00), Bantuan O.K.U Terlantar / Pesakit Kronik (RM9,000.00) dan Bantuan O.K.U Tidak Berupaya Bekerja (RM750.00).


Bagi merancakkan lagi usaha pembasmian kemiskinan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut sama-sama membantu golongan kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik di DUN Serkam.


Sepanjang tahun lalu, MAIM meluluskan sebanyak 183 permohonan bantuan, manakala 42 pemohon lagi dibantu untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini (Januari – Mac). Bantuan itu melibatkan 4 kategori iaitu Bantuan Perniagaan, Bantuan Haemodialisis, Bantuan Bulanan dan Bantuan Sukarelawan.

** Terdapat beberapa lagi permohonan masih dalam proses kelulusan.


Bagi Bantuan Fakir / Miskin untuk tempoh sepanjang tahun lalu, seramai 147 permohonan telah diluluskan. Daripada jumlah itu, 55 untuk Bantuan Keluarga Kecil, 2 Bantuan Keluarga Besar, 59 Bantuan Tahunan, 28 Bantuan Am dan 3 Bantuan Projek Usahawan atau Skim Bantuan Rawatan Sakit Buah Pinggang.


Untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 38 permohonan bagi Bantuan Fakir / Miskin sudah diluluskan. Daripada jumlah itu, 23 untuk Bantuan Keluarga Kecil, 1 Bantuan Keluarga Besar, 7 Bantuan Tahunan dan 7 Bantuan Am.


MAIM, Pejabat Daerah Jasin dan Majlis Perbandaran Jasin juga telah menawarkan pekerjaan kepada 32 golongan miskin di DUN Serkam untuk tahun 2009. Pekerjaan itu membabitkan kerja-kerja pembersihan bangunan awam seperti masjid, surau, balai raya, sekolah dan perpustakaan.