Tuesday, April 7, 2009
NGA PERLU MOHON MAAF SECARA TERBUKA
SAYA agak terkejut apabila menonton siaran berita di TV beberapa hari lalu yang menyiarkan seorang pemimpin bukan Islam dari DAP yang juga Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming membaca sepotong ayat Al-Quran ketika berkempen di salah satu tempat di Parlimen Bukit Gantang.
Ayat Quran yang saya yakin dari surah An-Nahl ayat 90 itu dibacakan Nga dihadapan ratusan ahli dan penyokong pembangkang termasuk umat Islam dari Pas serta penyokong DAP dan PKR.
Saya tidak ada masalah sekiranya Nga hanya membaca terjemahan ayat itu saja, tetapi yang timbul rasa tidak puas hati dan kemarahan saya ialah apabila beliau membacakan ayat suci Al-Quran semata-mata untuk kepentingan politik. Sudahlah dia bukan beragama Islam, bacaannya juga salah dan mencemarkan ayat-ayat suci Kitabullah itu.
Sebenarnya, adalah salah bukan Islam menggunakan ayat suci Al-Quran kerana dikhuatiri bacaannya tidak betul dari sudut tajwid dan sebutan. Tambahan pula, tujuan menggunakan ayat suci tersebut untuk tujuan tertentu.
Ini merupakan satu penghinaan kepada agama Islam dan umat Islam itu sendiri. Tidak sewajarnya rakan-rakan Islam dalam pakatan pembangkang membenarkan dan mengizinkan perkara ini berlaku. Jangan kerana hanya untuk mendapatkan pengaruh, sokongan, undi dan kuasa mereka `menjual' agama Islam.
Pihak berkuasa sewajarnya mencari pendekatan yang tegas agar perbuatan seperti itu tidak berulang lagi. Jika tidak, saya dikhuatiri akan wujud dan tercetusnya suasana tegang antara kaum dan agama di negara ini.
Justeru, saya menyarankan kepada Nga, supaya memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia, manakala kerajaan pula wajar bertindak sama ada menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau mengambil tindakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang menghina agama Islam.