A+ kepada Melaka Kota Warisan Dunia!
Oleh Zaini Hassan
SETELAH sekian lama tidak keluar dari kota kosmopolitan Kuala Lumpur - yang penuh sesak dengan jalan-jalan berlubang dan sudah kurang serinya lagi, saya mengambil keputusan bercuti ke Melaka hujung minggu lalu.
Ke Melaka dengan memandu secara santai hanya memakan masa kira-kira sejam setengah. Tidaklah hebat sangat mengambil keputusan bercuti bersama keluarga ke negeri itu. Kali terakhir saya ke Melaka ialah kira-kira empat tahun lalu. Apa yang istimewanya Melaka? Tiada istimewa pun - asyik-asyik Kota A‘Farmosa, panjat Bukit St. Paul dan berjalan ke bangunan rumah kedai bercat merah di Jonker Walk menghala ke The Stadthuys.
Di tepinya ialah Sungai Melaka yang mengalir lesu dan berbau tengit. Di sepanjang sungai itu berderetan bontot kedai-kedai lama Cina yang hodoh, kotor dan tiada apa yang istimewa pun.
Petang Jumaat lalu, dari rumah saya di Shah Alam, saya mengambil lebuh raya PLUS dan memasuki ke tol Alor Gajah. Sampai di bandar Alor Gajah pada kira-kira pukul 8 malam, saya teruja melihat bangunan rumah kedai di pekan itu dipasang dengan jaluran lampu yang mengikuti bentuk bangunan itu. Pokok-pokok di tepi-tepi jalanan diselaputi neon-neon. Terdetik di hati, cantiknya. Pertama kali saya sampai ke situ pada waktu malam.
Sampai di Tanjung Kling, saya daftar masuk ke sebuah pusat peranginan menghadap Selat Melaka di Pantai Klebang dan bermulalah percutian saya di negeri Hang Tuah yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masihi.
Melaka bagi saya bukan seperti empat tahun lalu. Ia sudah berubah. Tergerak di hati saya untuk menulis di ruangan ini kerana Melaka telah berubah. Ia berubah 360 darjah daripada beberapa tahun lalu.
Nampaknya semua orang buat kerja - kerja keras. Dari atas sampai ke bawah, dari orang atasan sampai ke orang bawahan semuanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka. Orang Melaka sangat berbangga dengan negeri mereka.
Kampung-kampungnya tersusun rapi dan tiada semak samun dan belukar yang menyakitkan mata seperti di negeri-negeri lain. Terus terang saya katakan Melaka lain dari negeri-negeri lain. Semuanya tersusun.
Layak saya takrifkan, Melaka ialah negeri termaju dalam lingkungan negeri-negeri di Malaysia yang masih lagi ketinggalan. Tidak hairanlah Melaka berani meletakkan motonya sebagai Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia.
Sepanjang jalan di Melaka dari Alor Gajah hingga ke Banda Hilir dan ke Air Keroh saya kagum melihat tiada sampah sarap bersepah yang menyakitkan mata, atau jalan-jalan berlubang yang banyak di Kuala Lumpur. Tiada tanda-tanda jalan yang mengelirukan. Semuanya sempurna.
Pada malam Sabtu, buat pertama kalinya saya menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot dari jeti di Dataran Quayside. Kawasan itu telah melalui transformasi yang amat menakjubkan. Gudang-gudang lama di situ telah diubah moden. Kesan-kesan kota lama yang diekskavasi dipelihara dengan baik.
Terpesona saya menyusuri sungai yang mengambil masa pergi balik selama 45 minit. Saya berasa seperti bukan berada di Malaysia, tapi di mana-mana di negara maju lain. Lampu-lampu berwarna-warni diperkayakan di sepanjang perjalanan itu. Sampai di satu tempat bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut menari di tepi tebing sungai itu.
Terlalu unik melihat rumah-rumah Melayu dihiasi cahaya lampu, yang bilnya ditanggung oleh kerajaan. Bagi saya apa yang dilakukan ini bukan membazir, tapi dibayar balik oleh pendapatan industri pelancongannya yang hebat.
Pak Hassan, pemandu bot kami bercerita mengenai kisah-kisah bangunan lama dan beliau mengimbau kami ke zaman silam Melaka yang terlalu kaya sejarahnya. Dari pokok Melaka di tepi sungai kepada projek membawa roda feri Eye of Malaysia dari Taman Tasik Titiwangsa, Menara Taming Sari yang menjadi tarikan terbaru hinggalah kepada pokok bakau yang dipelihara, yang pada siang harinya kita boleh melihat biawak makan - makanan yang turut dibiayai oleh kerajaan negeri.
Beliau yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong, sambil memandu bot pelancong ala di Sungai St. Antonio, Amerika Syarikat itu bercerita bagaimana kerajaan negeri akan mengubah bahagian belakang bangunan rumah kedai itu menjadi bahagian hadapan menghadap ke muka sungai
Di tepi sungai itu akan dijadikan pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Tiang-tiang untuk projek monorel telah pun dibina. Kampung Jawa, katanya yang kelihatan usang akan diambil alih dan dimajukan oleh saudagar dari Arab.
Membandingkan empat tahun lalu dengan apa yang ada hari ini, saya percaya semua kata-kata Pak Hassan itu. Apa yang beliau katakan itu akan menjadi kenyataan.
Beliau juga tidak lokek apabila membawa kami hingga ke kunci air yang dibina, bagi menunjukkan bagaimana sungai itu sentiasa dipenuhi air walaupun pada waktu air surut. Sebahagian daripada sungai itu ialah buatan manusia. Pada satu-satu masa, paras air sungai ialah pada ketinggian 14 kaki, cukup tinggi untuk aktiviti pelancongan air yang aktif dijalankan di sungai itu. Di tebing sungai seberang dari jeti Quayside, projek pembinaan hotel lima bintang sedang rancak dijalankan.
Terlalu bernilai cerita-cerita yang disampaikan oleh Pak Hassan, pesara kakitangan Jabatan Perikanan Klang itu. Perjalanan menyusuri sungai itu terlalu berbaloi dengan harga tambang RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. “Letih tapi seronok, hari ini saja saya dah bawa lebih 15 trip,” katanya puas.
Keesokan hari (Ahad) sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami sekali lagi singgah di Banda Hilir dan melawat beberapa tempat lazim di situ. Ternyata semuanya amat memuaskan. Bersih sungguh. Tindakan kerajaan Melaka membangunkan Dataran Pahlawan, misalnya amat bijak sekali. Di atasnya ialah padang yang bersejarah itu, di bawah ialah bazar dan mall perniagaan. Perlu direkod di sini, hanya dua perkara yang sedikit menghampakan. Pertama, kesesakan trafik di tengah bandar raya. Dan kedua, harga makanan di restoran kampung Melayu yang terlalu ‘mencekik darah’ - walaupun asam pedasnya memang sedap.
Selain itu, ternyata pentadbiran Melaka berjaya mengubah sebuah negeri itu menjadi pusat tarikan pelancongan yang berjaya. Pembangunan Melaka yang asalnya dimulakan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini dirancakkan oleh ketua menteri yang kreatif dan inovatif, Datuk Ali Rustam.
Kita syorkan para pentadbir negeri, perancang bandar yang terlalu kerap ke luar negara untuk melihat negara orang, melakukan lawatan sambil belajar ke Melaka. Contohilah pengurusan taman dan sampahnya yang dilihat terlalu tersusun. Perancangan infrastruktur pelancongannya yang begitu sistematik.
Jika Melaka boleh mengapa Kuala Lumpur tidak boleh? Mengapa Sungai Klang dibiarkan lesu dan kotor sedangkan ia boleh dijadikan laluan river cruise dari KL ke bandar diraja Klang; sama seperti yang berlaku di Sungai Melaka? Mengapa Padang Kota Lama di Pulau Pinang terlalu membosankan - dengan gerai mee sotong di tepinya masih daif sama seperti puluhan tahun lalu? Mengapa Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu yang diberi nama Bandar Raya Islam terlalu kotor dengan tikus-tikus mondok yang menjijikkan?
Melaka tidak cainnotophobia (disebut: kain no to fobia). Pemimpinnya tidak takut atau fobia kepada pembaharuan atau tidak takut mencipta sesuatu yang baru.
Tidak perlu menamakan ia sebagai Islam atau tidak, atau pun ditadbir oleh seorang ulama atau tidak. Ia semuanya datang dari seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan mahu melihat kecantikan untuk membangunkan negerinya.
Walaupun Melaka sebuah negeri kecil, tapi hati orangnya waja. Syabas Melaka!