Wednesday, May 6, 2009

LAWATAN KETUA MENTERI KE HAB HALAL MELAKA




LAWATAN mengejut YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ke Kawasan Perindustrian Hab Halal Melaka di Serkam Darat, memberi banyak manfaat khususnya kepada proses mempercepatkan pengoperasian kawasan berkenaan.

Ini kerana, banyak kemudahan asas yang selama ini tertangguh pemasangannya dapat diselesaikan dengan baik dan berkesan apabila Ketua Menteri sendiri mengambil tindakan segera terhadap pihak yang berkenaan.

Antaranya, kelewatan pemasangan bekalan eletrik oleh TNB, akan diselesaikan segera oleh pihak terbabit apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam menelefon pegawai kanan di peringkat negeri supaya menyegerakan pemasangannya.

Begitu juga dengan pengeluaran Sijil Layak Menduduki (CF), Datuk Seri meminta Yang Dipertua MPJ, Haji Murad Husin mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara itu.


Banyak lagi faedah secara langsung diperoleh hasil lawatan mengejut itu. Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas kesempatan beliau melawat kawasan Hab Halal berkenaan.


Insya Allah, Kawasan Hab Halal Serkam ini akan beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan bulan ini.

SEDIH.. TERHARU... SIMPATI..



SAYA sempat menziarahi keluarga seorang wanita yang terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta ketika dia sedang menunggu bas ke tempat kerja, malam semalam.

Pada kunjungan berkenaan, saya dapat melihat sendiri bagaimana keadaan tiga daripada empat anak gadis mangsa, Allahyarham Rossita Zainal, untuk mengharungi hidup tanpa mendapat kasih sayang dan belaian ibu tersayang.


Saya difahamkan, bapa mereka, Allahyarham Bujang sudah meninggal dunia lapan tahun lalu dan kini mereka terpaksa menumpang kasih kepada nenek mereka yang sudah uzur, Rahmah Kassim.

Bagi pihak Kerajaan Melaka, saya mengucapkan takziah kepada keluarga ini dan amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini. Bantuan berupa barangan makanan yang disumbangkan MAIM kepada keluarga ini akan diteruskan, manakala bantuan pendidikan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) akan diusahakan secepat mungkin.


Saya harap mereka bersabar dan kita yang lengkap segalanya ini perlu bersyukur dengan apa yang ada dan dikurniakan Allah SWT kepada kita.

HARAPAN MENGGUNUNG TERHADAP MEDIA




SAYA berterima kasih kepada Kelab Media Massa Melaka (KEMM) yang diketuai Saudara Mohd Raffi Bachik yang telah mengadakan kunjung hormat ke atas saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Isnin lalu (5 Mei 2009).

Bagi saya, kunjungan warga media ke DUN ini menggambarkan satu petanda baik terhadap hubungan setia kawan yang sudah lama terjalin, sejak saya belum bergelar Yang Berhormat.


Namun begitu, saya mengharapkan agar KEMM akan terus tampil sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Melaka yang paling fleksibel dalam membantu Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyalurkan maklumat tepat, padat dan benar untuk tatapan masyarakat.

Saya yakin, semua ahli KEMM sudah matang dalam tugasan masing-masing dan sehingga kini, saya tidak nampak sebarang kesilapan yang dilakukan pengamal media sehingga boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara dan negeri kita tercinta ini.

Dalam masa sama, saya mengharapkan agar semua pihak supaya dapat memberi kerjasama kepada media dalam semua perkara. Usahlah jadikan media ini sebagai medan untuk mencari publisiti murahan yang mungkin membuatkan orang lain terasa hati atau mungkin memandang serong terhadap sesuatu pihak.


Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada kepimpinan baru KEMM dan berharap KEMM akan dapat bekerja keras untuk membantu usaha Kerajaan Negeri Melaka mencapai negeri maju pada 2010.