Saturday, July 4, 2009

NIK AZIZ, `FATWA' DAN PENYOKONG MUAWIYAH

PENGURUS Bahagian Pemantauan Projek Kesedar Tuan Aziz Tuan Mat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, 14 Julai ini.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemilihan Tuan Aziz, 39, yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, pada satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di sini.

Apapun, atau siapapun yang akan menjadi calon BN berdepan Pas, tidak menjadi masalah. Yang penting bangsa Melayu kini sudah boleh melihat bagaimana sikap pemimpin pas, terutama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz membuat bermacam-macam tuduhan terhadap Umno dan pemimpin BN kerana mahu menutup kelemahan diri dan pentadbirannya. Nik Aziz hanya menonjolkan benda yang remeh temeh dan tidak mengemukakan dasar yang lebih besar seperti dasar pembangunan ekonomi Islam untuk mengubah taraf hidup rakyat Kelantan.

Nik Aziz dulu ketika menjadi ustaz Sekolah Maahad Muhammadi pada awal tahun 60-an adalah seorang yang pelembut. Selalu bernada rendah, peribadinya seorang pendakwah tulen. Tidak pernah ada kata-kata kasar yang dikeluarkan. Sikapnya pendiam, tenang dan senyum.

Tetapi, selepas menceburi dunia politik dan kemudian menjadi MB, sikap dan keperibadian Nik Aziz terus berubah. Setiap kata-katanya dianggap fatwa yang perlu dipatuhi. Hanya kata-kata beliau saja benar dan boleh dipatuhi oleh umat Islam.

Hingga lah suatu ketika dulu, Nik Aziz yang bergelar Tok Guru dan ulama itu mengharamkan wanita mengambil bahagian dalan tilawah al-Quran kerana mengikut 'fatwa' beliau suara wanita adalah aurat. Inilah antara contoh 'fatwa' seorang Tok Guru.

Bagi orang yang boleh berfikir, mereka tidak akan mengikut 'fatwa' itu kerana jika 'suara wanita adalah aurat' maka semua guru wanita, pensyarah wanita atau semua wanita tidak boleh bekerja kerana mereka terpaksa berkomunikasi dengan orang ramai menggunakan suara dan mengikut 'fatwa' Nik Aziz, suara wanita adalah aurat.

Kini, dalam pilihan raya kecil manek Urai, Nik Aziz mengeluarkan pula bermacam-macam 'fatwa' hingga mengatakan BN dan Umno adalah komunis atau pengamal ajaran sesat. Memang cara paling mudah dalam politik Pas ialah meluap-luapkan emosi penyokongnya. Mudah dan murah. Cuma akibatnya umat Islam ketinggalan dalam kecetekan yang tak pernah matang.

Ingatlah sejarah lampau: Terpengaruhnya penyokong Muawiyah dengan propaganda Muawiyah dalam menjatuhkan Saiyidina Ali r.a hanya melalui sepotong ayat al-Quran daripada Surah Al-Isra' 33: "Dan barangsiapa terbunuh secara teraniaya, maka sesungguhnya kami berikan kepada walinya kekuasaan, tetapi janganlah ia membunuh secara melanggar batas."

Lalu Muawiyah dengan menggunakan firman di atas mendakwa Ali bin Abi Talib tidak berhak menjadi khalifah, kerana dialah (Muawiyah) 'wali' ahli waris Osman bin Affan yang dibunuh.

Kata Ali bin Abi Talib: "Sebenarnya tidaklah Muawiyah lebih bijak daripada aku sepertimana kata orang yang kudengar. Bahkan aku tidak sanggup mengalahkan agamaku demi nafsuku."

Memang suatu trajedi apabila seorang Muslim yang baik dihadapkan dengan pilihan sama ada meraih kemenangan politik atau menyelamatkan imamnya.

Maka umat Islam khususnya majoriti bangsa Melayu di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya perlu ingat mengenai perpecahan yang dibawa oleh pemimpin Pas.

Saya percaya ada di kalangan pemimpin Pas kini sudah tidak lagi dapat menerima cara politik Nik Aziz.