ADA dua pepatah yang cukup sesuai diajukan kepada Pas iaitu: `nyamuk di seberang sungai dia nampak, gajah depan mata tak nampak' dan `bangkai gajah tak boleh ditutup dengan tudung saji'. Jika dulu, mereka hanya nampak keburukan seterunya saja, tetapi kini keburukan mereka juga yang tertonjol.
Semalam, Nik Aziz mengesyorkan supaya Pas mengadakan EGM bagi membincang dan merungkaikan segala masalah serta pergolakan yang berlaku dalam parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu. Kelemahan Pas yang selama ini `diperam' dan `dikepam' oleh pemimpin mereka, akhirnya terbongkar juga.
Secara jelas, Nik Aziz telah mengutarakan beberapa masalah yang semakin berkeladak dan membusuk dalam Pas. Sudah pasti ia berpunca daripada persoalan pimpinan dan kepimpinan parti pembangkang itu Sudah pasti, Nik Aziz memaksudkan bahawa kepimpinan yang ada ini lemah dan lembab, meski pun kata-kata itu tidak keluar daripada mulutnya, mungkin tidak sampai hati `tok guru' itu nak cakap macam tu, tetapi itulah realitinya.
Beberapa pemimpin Pas enggan menerima kenyataan bahawa parti itu sedang bergelora dan berada dalam porak peranda, namun rakyat dapat menilai parti yang selama ini hanya menggunakan slogan Membangun Bersama Islam sebenarnya tidak pernah berjuang menegakkan Islam, jauh bezanya dengan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional selama ini.
Dalam Berita Minggu hari ini (Ahad), tiga pemimpin kanan Pas yang dikatakan 'bermasalah' yang didakwa Nik Aziz perlu dibersihkan daripada parti itu, tidak memberikan sebarang reaksi mengenainya, sebaliknya Nik Aziz tetap mahu EGM parti diadakan demi mengetengahkan kebenaran dakwaannya itu.
Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali memilih untuk berdiam diri, termasuk mematikan telefon bimbit masing-masing dan tidak menghadiri majlis yang dijadualkan membabitkan mereka.
Keadaan itu menguatkan lagi tiga pemimpin pembangkang itu benar-benar bermasalah dan ia mungkin akan menyedarkan rakyat bahawa parti berkenaan tidak mampu untuk mentadbir, apatah lagi sebuah negara bernama Malaysia ini.
Justeru, saya berharap keadaan yang dialami Pas itu tidak menyebabkan Melayu berpecah, sebaliknya membuatkan kita bersatu dalam satu barisan untuk terus memakmur dan memajukan Islam serta negara tercinta.