Sunday, November 8, 2009

SEMINAR PAS: BUKTI AHLI SEMAKIN KELIRU

SEMINAR Khas Pas yang berlangsung semalam membuktikan kekaburan masa depannya apabila ramai dikalangan ahlinya menunjukkan rasa keliru atas pendirian pucuk pimpinan termasuklah Presidennya, Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Apa yang pasti, hasil daripada seminar yang kononnya diadakan bagi memperkasakan parti Pas yang semakin suram dan tenggelam ini bagaikan membuka pekung di dada bahawa impian untuk bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin Pas.

Menerusi seminar ini ternyata ketidakpuasan hati yang selama ini cuba disembunyikan terluah juga lantas mempertikaikan kerjasama politik yang dilakukan oleh Pas bersama DAP dan PKR.

Ada perwakilan lantang mempertikaikan hala tuju Pas dan mahukan pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu, selain gesaan terhadap pucuk pimpinan agar tidak mengenepikan idealogi semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Biarpun pada akhir seminar tersebut, Pas menetapkan lima resolusi sebagai matlamat parti tapi yang jelas bahawa antara resolusi tersebut secara tidak langsung mendedahkan bahawa sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang semakin tenggelam.

Antara lain, Pas mahu meningkatkan kempennya yang bertemakan ‘Pas Untuk Semua’, iaitu tema yang digunakan selepas membentuk gabungan dengan DAP dan PKR sedangkan idealogi asal iaitu sebuah negara Islam langsung tidak disebutkan.

Sesungguhnya biarpun seminar tersebut diadakan bagi membingkan isu-isu dalamannya tetapi Pas masih lagi mahu ‘menjaga hati’ DAP dan PKR lantas pandangan untuk menegakkan perjuangan Islam tidak disebut kerana sudah pasti ia tidak diterima oleh DAP dan PKR.

Seminar tersebut diadakan ekoran polemik dalaman daripada pertentangan pendapat antara Hadi dan Nik Aziz lantas Nik Aziz mahukan Muktamar Khas (EGM) dibuat bagi menukar beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah; bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO yang bertentangan keputusan Muktamar Pas Jun lalu.

Antara pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Bagaimanapun pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat 28 Oktober lalu memutuskan untuk tidak mengadakan EGM sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan parti.