Malah ada yang menuduh, BN cuba untuk merasuah pengundi, dan tidak kurang pula yang menuduh BN mengugut pengundi supaya memangkah `dacing' jika mahukan pembangunan di kawasan Manek Urai.
Sebenarnya, BN bukannya mengugut, tetapi menyatakan kebenaran bahawa hanya BN yang mampu membawa perubahan dan pembangunan di sesuatu kawasan. Ia sudah terbukti di semua negeri yang diperintah BN selama ini. Sementara di negeri yang dikuasai pembangkang sekarang, hanya menumpang kepada kemajuan yang pernah diusahakan oleh pemimpin BN sebelum ini.
Kita tidak pernah merasuah pengundi, tetapi apalah guna jadi pemimpin sekiranya seringgit dua pun tak boleh didermakan kepada rakyat hanya kerana rasa simpati, tawadduk dan insaf kepada nasib mereka. Jika itu juga dikatakan rasuah oleh pembangkang, nampak sangat mereka tidak boleh menilai yang mana ibadah dan yang mana rasuah.
Dalam beberapa blog yang pro-pembangkang yang saya `terbaca' dan dimaklumkan rakan-rakan, memang tidak lekang daripada menuduh BN sedemikian rupa. Bagi saya, biarkan saja. Biarkan anjing menyalak bukit kerana bukit tidak akan runtuh.
Dalam perkara ini, teringat saya dengan cerita sejarah silam Luqmanul Haqim bersama keldainya.
Pada suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor Keldai, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata,
"Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki Keldainya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari Keldainya itu lalu diletakkan anaknya di atas Keldai itu dan kembali berjalan. Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula,
"Sungguh biadap budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki Keldai itu."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang Keldai itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi,
"Lihat dua orang itu menunggang seekor Keldai, alangkah siksanya Keldai itu membawa beban yang berganda."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari Keldai itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,
"Ada Keldai tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,
"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Dalam perkara ini, saya suka mengambil ikhtibar bahawa jangan sekali-kali mendengar kata orang yang tidak memberi keuntungan kepada kita. Berserahlah kepada Allah. Semoga Allah memberkati kita semua.