Sunday, April 5, 2009

SELAMAT BERTUGAS PM KE-6

Bunga Melur kembang sekaki,
Mari dibungkus dengan kertas;
Di dalam telur lagi dinanti;

Inikan pula sudah menetas.


TANGGAL 3 April 2009, menyaksikan sejarah baru tercipta bagi negara kita apabila anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien iaitu Datuk Seri Mohd Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Dengan upacara berkenaan, kini Datuk Seri Mohd Najib sah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru, menggantikan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Saya, mewakili penduduk pelbagai kaum di DUN Serkam mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Najib atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kita yang baru.

Bagi saya, harapan rakyat Malaysia kepada Datuk Seri Mohd Najib amat besar, kerana kejatuhan dan peningkatan negara ini bergantung di bahu beliau. Bagaimanapun, saya yakin dengan kemampuan beliau untuk mentadbir negara dengan baik, sambil dibantu semua barisan Kabinet barunya yang dijangka dibentuk Rabu ini.

Harapan saya kepada rakyat Malaysia agar terus menyokong dasar-dasar yang sedang dan akan dilahirkan oleh Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, demi keharmonian semua kaum di negara ini. Janganlah kita terlalu awal menilaikan seseorang itu, tanpa kita mencuba kemampuan seseorang itu.

Tahniah Datuk Seri Mohd Najib dan saya berdoa agar Allah S.W.T memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua.

Buat bangsal di Pulau Daik,
Menahan taut sambil mengilau;

Kalau asal benih yang baik,

Jatuh ke laut menjadi pulau.

No comments: