Sunday, April 5, 2009

TERIMA KASIH PAK LAH

SELURUH warga DUN Serkam, dengan rasa insaf dan rendah diri mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa dan budi baik YA Bhg. Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi selama beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5 dari 2003 hingga 2009.


Meski pun tempoh pemerintahan beliau tidak panjang seperti Perdana Menteri sebelum ini iaitu 22 tahun, namun saya yakin tempoh pendek bukan penghalang kepada kejayaan Pak Lah.


Sirah Khalifah Rasulullah S.A.W yang empat ketika menjadi pemimpin juga tidak lama, namun mereka tetap dilihat sangat berjaya dalam pemerintahan masing-masing dan mereka tetap diingat sampai bila-bila.


Panjang atau pendek pemerintahan atau pentadbiran seseorang adalah ketentuan Allah dan Malaysia sangat bertuah kerana diperintah oleh bekas-bekas Perdana Menteri yang berkaliber dan berdedikasi sehingga kita berupaya mengawal dan menghalang kerosakan serta perpecahan daripada berlaku di negara kita yang tercinta ini.


Harapan saya kepada Pak Lah selepas bersara ialah beliau akan terus menyumbang tenaga kepada negara dengan cara yang berbeza dan semoga Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak akan dapat menyambung perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara ke arah lebih hebat dari sebelumnya.


Saya serta warga DUN Serkam sentiasa mendoakan kesihatan Pak Lah dan berdoa segala jasa baik Pak Lah selama ini akan menerima ganjaran dari Allah S.W.T.


Terima kasih Pak Lah.!


Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.


Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.


Ayam rintik di pinggir hutan;
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan;
Seribu tahun terkenang juga.


No comments: