Thursday, July 2, 2009

TERBUKTI MELAKA TERBAIK

SAYA mengucapkan tahniah kepada YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka kerana berjaya mentadbir Melaka dengan cemerlang. Ia terbukti dengan rencana di akhbar Utusan Malaysia keluaran 1 Julai 2009.

A+ kepada Melaka Kota Warisan Dunia!

Oleh Zaini Hassan

SETELAH sekian lama tidak keluar dari kota kosmopolitan Kuala Lumpur - yang penuh sesak dengan jalan-jalan berlubang dan sudah kurang serinya lagi, saya mengambil keputusan bercuti ke Melaka hujung minggu lalu.

Ke Melaka dengan memandu secara santai hanya memakan masa kira-kira sejam setengah. Tidaklah hebat sangat mengambil keputusan bercuti bersama keluarga ke negeri itu. Kali terakhir saya ke Melaka ialah kira-kira empat tahun lalu. Apa yang istimewanya Melaka? Tiada istimewa pun - asyik-asyik Kota A‘Farmosa, panjat Bukit St. Paul dan berjalan ke bangunan rumah kedai bercat merah di Jonker Walk menghala ke The Stadthuys.

Di tepinya ialah Sungai Melaka yang mengalir lesu dan berbau tengit. Di sepanjang sungai itu berderetan bontot kedai-kedai lama Cina yang hodoh, kotor dan tiada apa yang istimewa pun.

Petang Jumaat lalu, dari rumah saya di Shah Alam, saya mengambil lebuh raya PLUS dan memasuki ke tol Alor Gajah. Sampai di bandar Alor Gajah pada kira-kira pukul 8 malam, saya teruja melihat bangunan rumah kedai di pekan itu dipasang dengan jaluran lampu yang mengikuti bentuk bangunan itu. Pokok-pokok di tepi-tepi jalanan diselaputi neon-neon. Terdetik di hati, cantiknya. Pertama kali saya sampai ke situ pada waktu malam.

Sampai di Tanjung Kling, saya daftar masuk ke sebuah pusat peranginan menghadap Selat Melaka di Pantai Klebang dan bermulalah percutian saya di negeri Hang Tuah yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masihi.

Melaka bagi saya bukan seperti empat tahun lalu. Ia sudah berubah. Tergerak di hati saya untuk menulis di ruangan ini kerana Melaka telah berubah. Ia berubah 360 darjah daripada beberapa tahun lalu.

Nampaknya semua orang buat kerja - kerja keras. Dari atas sampai ke bawah, dari orang atasan sampai ke orang bawahan semuanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka. Orang Melaka sangat berbangga dengan negeri mereka.

Kampung-kampungnya tersusun rapi dan tiada semak samun dan belukar yang menyakitkan mata seperti di negeri-negeri lain. Terus terang saya katakan Melaka lain dari negeri-negeri lain. Semuanya tersusun.

Layak saya takrifkan, Melaka ialah negeri termaju dalam lingkungan negeri-negeri di Malaysia yang masih lagi ketinggalan. Tidak hairanlah Melaka berani meletakkan motonya sebagai Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia.

Sepanjang jalan di Melaka dari Alor Gajah hingga ke Banda Hilir dan ke Air Keroh saya kagum melihat tiada sampah sarap bersepah yang menyakitkan mata, atau jalan-jalan berlubang yang banyak di Kuala Lumpur. Tiada tanda-tanda jalan yang mengelirukan. Semuanya sempurna.

Pada malam Sabtu, buat pertama kalinya saya menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot dari jeti di Dataran Quayside. Kawasan itu telah melalui transformasi yang amat menakjubkan. Gudang-gudang lama di situ telah diubah moden. Kesan-kesan kota lama yang diekskavasi dipelihara dengan baik.

Terpesona saya menyusuri sungai yang mengambil masa pergi balik selama 45 minit. Saya berasa seperti bukan berada di Malaysia, tapi di mana-mana di negara maju lain. Lampu-lampu berwarna-warni diperkayakan di sepanjang perjalanan itu. Sampai di satu tempat bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut menari di tepi tebing sungai itu.

Terlalu unik melihat rumah-rumah Melayu dihiasi cahaya lampu, yang bilnya ditanggung oleh kerajaan. Bagi saya apa yang dilakukan ini bukan membazir, tapi dibayar balik oleh pendapatan industri pelancongannya yang hebat.

Pak Hassan, pemandu bot kami bercerita mengenai kisah-kisah bangunan lama dan beliau mengimbau kami ke zaman silam Melaka yang terlalu kaya sejarahnya. Dari pokok Melaka di tepi sungai kepada projek membawa roda feri Eye of Malaysia dari Taman Tasik Titiwangsa, Menara Taming Sari yang menjadi tarikan terbaru hinggalah kepada pokok bakau yang dipelihara, yang pada siang harinya kita boleh melihat biawak makan - makanan yang turut dibiayai oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong, sambil memandu bot pelancong ala di Sungai St. Antonio, Amerika Syarikat itu bercerita bagaimana kerajaan negeri akan mengubah bahagian belakang bangunan rumah kedai itu menjadi bahagian hadapan menghadap ke muka sungai

Di tepi sungai itu akan dijadikan pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Tiang-tiang untuk projek monorel telah pun dibina. Kampung Jawa, katanya yang kelihatan usang akan diambil alih dan dimajukan oleh saudagar dari Arab.

Membandingkan empat tahun lalu dengan apa yang ada hari ini, saya percaya semua kata-kata Pak Hassan itu. Apa yang beliau katakan itu akan menjadi kenyataan.

Beliau juga tidak lokek apabila membawa kami hingga ke kunci air yang dibina, bagi menunjukkan bagaimana sungai itu sentiasa dipenuhi air walaupun pada waktu air surut. Sebahagian daripada sungai itu ialah buatan manusia. Pada satu-satu masa, paras air sungai ialah pada ketinggian 14 kaki, cukup tinggi untuk aktiviti pelancongan air yang aktif dijalankan di sungai itu. Di tebing sungai seberang dari jeti Quayside, projek pembinaan hotel lima bintang sedang rancak dijalankan.

Terlalu bernilai cerita-cerita yang disampaikan oleh Pak Hassan, pesara kakitangan Jabatan Perikanan Klang itu. Perjalanan menyusuri sungai itu terlalu berbaloi dengan harga tambang RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. “Letih tapi seronok, hari ini saja saya dah bawa lebih 15 trip,” katanya puas.

Keesokan hari (Ahad) sebelum pulang ke Kuala Lumpur kami sekali lagi singgah di Banda Hilir dan melawat beberapa tempat lazim di situ. Ternyata semuanya amat memuaskan. Bersih sungguh. Tindakan kerajaan Melaka membangunkan Dataran Pahlawan, misalnya amat bijak sekali. Di atasnya ialah padang yang bersejarah itu, di bawah ialah bazar dan mall perniagaan. Perlu direkod di sini, hanya dua perkara yang sedikit menghampakan. Pertama, kesesakan trafik di tengah bandar raya. Dan kedua, harga makanan di restoran kampung Melayu yang terlalu ‘mencekik darah’ - walaupun asam pedasnya memang sedap.

Selain itu, ternyata pentadbiran Melaka berjaya mengubah sebuah negeri itu menjadi pusat tarikan pelancongan yang berjaya. Pembangunan Melaka yang asalnya dimulakan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini dirancakkan oleh ketua menteri yang kreatif dan inovatif, Datuk Ali Rustam.

Kita syorkan para pentadbir negeri, perancang bandar yang terlalu kerap ke luar negara untuk melihat negara orang, melakukan lawatan sambil belajar ke Melaka. Contohilah pengurusan taman dan sampahnya yang dilihat terlalu tersusun. Perancangan infrastruktur pelancongannya yang begitu sistematik.

Jika Melaka boleh mengapa Kuala Lumpur tidak boleh? Mengapa Sungai Klang dibiarkan lesu dan kotor sedangkan ia boleh dijadikan laluan river cruise dari KL ke bandar diraja Klang; sama seperti yang berlaku di Sungai Melaka? Mengapa Padang Kota Lama di Pulau Pinang terlalu membosankan - dengan gerai mee sotong di tepinya masih daif sama seperti puluhan tahun lalu? Mengapa Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu yang diberi nama Bandar Raya Islam terlalu kotor dengan tikus-tikus mondok yang menjijikkan?

Melaka tidak cainnotophobia (disebut: kain no to fobia). Pemimpinnya tidak takut atau fobia kepada pembaharuan atau tidak takut mencipta sesuatu yang baru.

Tidak perlu menamakan ia sebagai Islam atau tidak, atau pun ditadbir oleh seorang ulama atau tidak. Ia semuanya datang dari seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan mahu melihat kecantikan untuk membangunkan negerinya.

Walaupun Melaka sebuah negeri kecil, tapi hati orangnya waja. Syabas Melaka!

PERTANDINGAN MARHABAN DAN BERZANJI ANTARA MASJID PERINGKAT DUN SERKAM

SAYA mempelawa seluruh umat Islam DUN Serkam memeriahkan Pertandingan Marhaban dan Berzanji Antara Masjid Peringkat DUN Serkam yang akan berlangsuing pada 4 Julai 2009, di Masjid Al-Khautsar, Kampung Umbai.

Pertandingan itu akan bermula jam 6.00 petang hingga 11.30 malam.

Sebanyak 7 pasukan akan bersaing dalam pertandingan itu. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi Pejabat JAPERUN Serkam 06-2631172.

Tuesday, June 30, 2009

SUMBANGAN UNTUK KELUARGA ALLAHYARHAM RAUF

SAYA amat terharu dengan nasib yang bakal ditempuh semua anak Allahyarham Rauf Maidin yang masih kecil dan mengharapkan kasih sayang seorang bapa. Namun, semua itu kehendak Allah dan sudah pasti Allah lebih menyayangi Allahyarham.

Justeru, saya bersama beberapa pegawai Majlis Agama Islam Melaka berkunjung ke rumah Allahyarham untuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang perbelanjaan kepada keluarga Allahyarham.


Dalam masa sama, MAIM turut bersetuju menghulurkan sumbangan makanan bulanan kepada keluarga itu selain bantuan persekolahan kepada anak mereka yang masih bersekolah. Saya difahamkan, beberapa pihak turut bersetuju untuk membantu keluarga berkenaan. Saya berterima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan itu.


Saya harap, insan seperti keluarga ini terus menerima bantuan daripada semua pihak bagi memastikan beban yang ditanggung mereka dapat diringankan.

Monday, June 29, 2009

TAKZIAH KELUARGA ALLAHYARHAM RAUF MAIDIN

SAYA mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Rauf Maidin yang telah kembali kerahmatullah selepas ditemui lemas di perairan Pulau Besar, petang semalam.

Saya berharap, seluruh ahli keluarganya dapat bersabar dan menerima kenyataan kehilangan orang tersayang. Sama-sama kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat kejadian bot karam membabitkan Allahyarham dan rakannya, Abdullah Abu atau Berahim.

Pasukan itu ialah Polis, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Anggota Komando Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kerja Raya, JKKK Umbai, Persatuan Nelayan Umbai, nelayan tempatan dan sekitar Umbai serta semua pihak yang bersama-sama melancarkan operasi berkenaan.

Tidak lupa kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang sudi meluang masa melawat tempat kejadian.

Hanya Allah yang membalas budi dan jasa baik tuan semua.

Sunday, June 28, 2009

DEBAT NIK AZIZ - NAJIB : ABAIKAN PELAWAAN PAS

UMNO tidak perlu menerima cabaran Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat untuk berdebat. Saya katakan ini bukannya tidak mahu menyelesaikan permasalahan yang timbul khususnya di kalangan rakan sebangsa saya, tetapi mahu kita, termasuk pemimpin tertinggi UMNO supaya memikirkan sejenak tentang apa yang pernah berlaku beberapa minggu lalu.

Masih ingatkah kita bahawa Pas lah yang membuka ruang untuk berbincang mengenai perpaduan Melayu dan nasib orang Melayu dengan UMNO, tetapi Nik Aziz yang digelar Tok Guru di kalangan mereka, `mati-mati' tidak setuju dan membantah sekeras-kerasnya.

Tetapi sekarang, dia nak ajak berdebat pula. Sebenarnya, bukan itu cara terbaik untuk menyelesaikan masalah. Cara terbaik dan mengikut ajaran Islam serta budaya Melayu ialah berunding, bermuafakat dan bermusyawwarah, bukannya ajak berdebat dan bertekak.

Ini adalah cara Nik Aziz dan Pas mewujudkan isu dan mengambil kesempatan untuk menyalahkan serta menunding jari ke arah UMNO. Kononnya UMNO lah yang tidak bersetuju untuk berunding. I

ni adalah mainan politik Pas yang tak sudi berbincang dan berpakat dengan kumpulan manusia yang sebangsa dan seagama, hanya kerana adanya kepentingan peribadi yang tinggi tanpa mengambil kira nasib bangsa dan agama.


Mereka sanggup berpakat dengan kelompok manusia yang terang-terang menentang Islam.

Ingat...!!! Wahai insan Melayu dan umat Islam, muhasabahlah diri dan jangan terpengaruh dengan isu yang merugikan bangsa dan agama.

Friday, June 26, 2009

PERJUANGAN UMNO DIPERLEKEH - USUL BAWA CHIN PENG PULANG KE MALAYSIA ADALAH MENGARUT

SEJAK mutakhir ini, terdapat usaha berterusan oleh pihak tertentu yang memperlekeh perjuangan UMNO dan orang Melayu untuk mempertahankan kemerdekaan. Ini kerana, kononnya orang yang pertama memperjuangkan kemerdekaan ialah Chin Peng, pemimpin Parti Komunis Malaya. Bagi mereka, Chin Peng lah yang cuba membebaskan Malaya daripada penjajah British sebelum mana-mana orang Melayu mencuba melakukannya, manakala perjuangan UMNO adalah kemudian dari itu.

Sebenarnya, Chin Peng bukanlah orang yang pertama yang memberontak melawan British. Sebelum Parti Komunis Malaya (PKM atau MCP - Malayan Communist Party), sudah ada Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang bergerak sebelum Perang Dunia II. Mereka tidak mendapat sokongan penuh daripada orang Melayu Semenanjung kerana mereka cenderung ke kiri.

Dengan itu perjuangan mereka tidak begitu berhasil. Namun terdapat beberapa pertubuhan yang secara tidak langsung mewarisi perjuangan mereka. Malay Nationalist Party atau Party Kebangsaan Melayu, Angkatan Belia Insaf dan Putera adalah di antara pertubuhan yang meneruskan perjuangan KMM. Mereka juga tidak mendapat sokongan daripada majoriti orang Melayu kerana disyaki dipengaruhi oleh Komunis.

Selepas KMM barulah datang Chin Peng dan PKM. Chin Peng berjuang untuk mendirikan sebuah Communist Dictatorship di mana dia akan menjadi diktator. Bagi orang yang bukan Komunis, terutama bagi orang Malayu kejayaan Chin Peng bukan akan membawa kemerdekaan tetapi mengganti penjajahan British dengan penjajahan Komunis pimpinan Chin Peng dengan majoriti daripada pemerintahan terdiri daripada kaum Cina. Melayu yang akan ada dalam pemerintahan Komunis ini hanyalah hiasan, seperti juga kita lihat keadaan di Singapura sekarang.

Bangsa Melayu dan Bahasa Melayu lambat laun akan terhapus.

Sebab itu Melayu yang sedikit yang mirip ke kiri pun tidak ingin menyertai MCP. Keadaan dalam MCP sepanjang ia mencuba rebut kuasa, mulanya daripada British dan kemudian daripada Kerajaan Campuran Perikatan dan Barisan Nasional, memberi gambaran akan pemerintahan Chin Peng jika ia berjaya. Orang Cina Komunis akan menjadi pemerintah tetapi Komunis Melayu dengan orang Melayu dan India akan diberi peranan yang kecil dan tidak bermakna sama sekali.

Inilah sebabnya yang orang Melayu tidak menyertai pemberontakan MCP melawan British, dan tidak anggapnya sebagai perjuangan untuk kemerdekaan Malaya.

Dengan kesedaran dan kepercayaan ini maka orang Melayu telah tubuh badan yang tersendiri untuk betul-betul memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British. Badan yang ditubuh ialah UMNO.

Orang Melayu tidak percaya yang pemberontakan bersenjata akan berkesan. Ini adalah kerana negara yang akan di warisi jika menang sekalipun sudah tentu akan rosak teruk kerana peperangan.

Pendekatan orang Melayu dan UMNO mengambilkira kemampuan mereka. Mungkin perjuangan UMNO tidak gah seperti perjuangan kemerdekaan bersenjata di negara-negara lain, tetapi kemerdekaan yang dicapai oleh UMNO lebih bermakna kerana Malaysia dapat menegak pendirian sendiri dan mengecam kuasa besar di dunia apabila mereka membuat kesalahan.

Sesungguhnya UMNO lah yang perjuangkan kemerdekaan sehingga berjaya mencapai kemerdekaan yang bermakna. Chin Peng berjuang untuk mendirikan pemerintahan diktator Komunis yang akan menjajah orang Melayu dan kaum-kaum lain juga.

SAMBUTAN HARI UMNO DUN SERKAM


PADA 27 Mei lalu, UMNO DUN Serkam telah berjaya menganjurkan Sambutan Hari UMNO ke-63 bertempat di Perkarangan Kompleks JAPERUN Serkam. Lebih 500 warga DUN Serkam menghadiri majlis berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil sejurus selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah diketuai Imam Serkam Darat, Rahmat Abu, diikuti kuliah ringkas yang disampaikan penceramah jemputan. Selepas menunaikan solat Isyak, UMNO DUN Serkam menyampaikan cenderahati dan sumbangan kepada 12 veteran UMNO sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam memaju dan membangunkan parti.

Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini. Tidak lupa juga kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohd Said Yusof yang turut hadir pada majlis itu.

Semoga UMNO terus maju dan menjadi parti pembela ummah dan Islam seperti dilaksanakan dulu, kini dan selamanya.