Wednesday, May 6, 2009

HARAPAN MENGGUNUNG TERHADAP MEDIA




SAYA berterima kasih kepada Kelab Media Massa Melaka (KEMM) yang diketuai Saudara Mohd Raffi Bachik yang telah mengadakan kunjung hormat ke atas saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Isnin lalu (5 Mei 2009).

Bagi saya, kunjungan warga media ke DUN ini menggambarkan satu petanda baik terhadap hubungan setia kawan yang sudah lama terjalin, sejak saya belum bergelar Yang Berhormat.


Namun begitu, saya mengharapkan agar KEMM akan terus tampil sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Melaka yang paling fleksibel dalam membantu Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyalurkan maklumat tepat, padat dan benar untuk tatapan masyarakat.

Saya yakin, semua ahli KEMM sudah matang dalam tugasan masing-masing dan sehingga kini, saya tidak nampak sebarang kesilapan yang dilakukan pengamal media sehingga boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara dan negeri kita tercinta ini.

Dalam masa sama, saya mengharapkan agar semua pihak supaya dapat memberi kerjasama kepada media dalam semua perkara. Usahlah jadikan media ini sebagai medan untuk mencari publisiti murahan yang mungkin membuatkan orang lain terasa hati atau mungkin memandang serong terhadap sesuatu pihak.


Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada kepimpinan baru KEMM dan berharap KEMM akan dapat bekerja keras untuk membantu usaha Kerajaan Negeri Melaka mencapai negeri maju pada 2010.

No comments: