Thursday, October 1, 2009

RUMAH TERBUKA DUN SERKAM

SAYA berterima kasih kepada lebih 7,000 penduduk pelbagai kaum di kawasan DUN Serkam telah menghadiri majlis Jamuan Hari Raya atau Rumah Terbuka DUN Serkam di Kompleks Japerun Serkam, di sini, 27 September lalu.

Rumah terbuka yang bermula seawal jam 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 4 petang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isterinya, Datin Seri Asmah Abd Rahman; beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; ADUN dan Ketua Jabatan.

Saya bersama isteri, Rubiah Edris turut mengundang 50 penghuni Rumah Budak Laki-Laki Tun Abd Aziz serta penghuni Rumah Anak Yatiim Fatimah Az-Zahra ke majlis rumah terbuka berkenaan.

Bagi saya, majlis rumah terbuka yang dianjurkan untuk kali kedua sebagai wakil rakyat itu adalah berkonsepkan 1Malaysia dan dilihat mampu menyerlah serta merealisasikan gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan situasi semasa dan amalan sejak sekian lama, rumah terbuka kali ini adalah satu platform untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan agama di negeri ini, khususnya di DUN Serkam.

Rumah terbuka ini perlu dikongsi dan diraikan bersama dan pendekatannya lebih kepada usaha mengeratkan hubungan persahabatan, bukan secara amalan agama yang mana ianya boleh dilaksanakan menerusi amalan rumah terbuka seperti ini.

Majlis berkonsepkan 1Malaysia pada kali ini adalah dengan tujuan supaya rakyat bangsa lain tidak terasa terpinggir pada sambutan Aidilfitri yang di sambut oleh umat Islam.


Sekali lagi saya berterima kasih kepada semua. Mudah-mudahan, usaha kita akan sentiasa diberkati Allah SWT. Insya Allah..

No comments: