SAYA amat bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU ke-12 tanpa sebab yang menasabah adalah satu pembaziran rakyat dan pembaziran tenaga kerja.
Sepatutnya, wang tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan dan kepentingan rakyat, khasnya dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu dan tidak stabil ketika ini.
Sepatutnya, semua pihak perlu memahami keadaan ini dan bersama dengan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara seperti hasrat masing-masing iaitu untuk membela nasib semua rakyat.
Tetapi, nampaknya ada pihak yang cuba memperkuatkan pengaruh mereka dengan memperkudakan isu ekonomi ini bagi menggapai kekuatan mereka tanpa menimbangkan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.
Semua pihak perlu sedar akan agenda pihak-pihak tertentu ini. Mereka tidak memikirkan kepentingan rakyat, tetapi mementingkan matlamat mereka saja.
Tidak perlu diadakan pilihan raya kecil sekiranya kerusi itu dikosongkan sesuka hati saja. Mereka yang diberi kepercayaan dalam pemilihan perlu terus berkhidmat dan atasi segala masalah secara berhemah. Bukannya lari dari masalah dengan meletakkan jawatan semudah-mudanya.
No comments:
Post a Comment