Tuesday, October 13, 2009

UMNO DAN PERUBAHAN

BAGI memastikan kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti yang tetap kukuh dan teguh pada masa hadapan, sememangnya perubahan dilakukan dengan kesesuaian sebagai landasan utama meneruskan perjuangan termasuklah meminda perlembagaan yang akan direalitikan dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2009 ini.

Perlu difahami, kesanggupan para pemimpin dalam teraju atasan untuk meminda perlembagaan parti, sesungguhnya adalah bukti kesungguhan bagi merealisasikan apa yang pernah dikata iaitu mahukan perubahan, lantas perubahan dilakukan dalam semua aspek.

Lantaran itu, kesedaran atas satu perubahan memastikan bahawa pindaan perlembagaan UMNO ini dibuat bukan sekadar hanya melepas batuk ditangga sebaliknya dilakukan dalam satu persidangan khas dengan perancangan dan rangka teliti meliputi semua aspek.
Usul pindaan tersebut yang akan dibahaskan oleh para perwakilan juga bertunjangkan empat perkara iaitu : -

1. dilakukan atas keinsafan dan kesungguhan UMNO untuk berubah.
2. dilakukan berdasarkan tuntutan ahli dan kepemimpinan akar umbi.
3. perubahan berdasarkan pola landskap politik semasa dan akan datang.
4. perubahan yang membabitkan UMNO melalui proses tepat dan betul.

Selaras dengan itu juga, ia adalah untuk memastikan bahawa UMNO menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif berdasarkan pindaan yang menjurus kepada lapan perkara pokok membabitkan: -

1. Perluasan jumlah perwakilan yang bakal menentukan kepemimpinan tertinggi parti.
2. Penghapusan sistem kuota.
3. Perjalanan mesyuarat perwakilan secara serentak.
4. Menghakupayakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di cawangan.
5. Menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.
6. Menjadikan yuran keahlian RM2 sebagai yuran seumur hidup.
7. Memberi kuasa sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri meluluskan keahlian
baru.
8. Mengiktiraf sumbangan Setiausaha Bahagian.

Sesungguhnya, perubahan dalam UMNO ini juga bukan hanya untuk memenuhi tuntutan semasa malahan ia j adalah sebagai alternatif utama bagi memastikan kesinambungan warisan yang akan terus menjadi pusaka kepada generasi akan datang lantas memastikan kewujudan UMNO terus relevan.

Atas kesinambungan warisan parti tersebutlah maka kini taraf hidup rakyat Malaysia adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan sebelum merdeka. Di samping dapat menidakkan segelintir pihak yang hanya tahu mengecam, tidak suka melihat orang melayu miskin, tetapi mereka juga tidak suka melihat orang melayu maju dan berjaya.Dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak ada cadangan untuk membuat sesuatu demi kemajuan melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO pernah memaklumkan bahawa dengan pindaan tersebut purata 500 perwakilan setiap satu daripada 191 UMNO bahagian (dengan jumlah keseluruhan 146,500 orang) akan terbabit dalam proses pemilihan barisan kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mulai 2011. Daripada jumlah itu, 51,000 adalah daripada kalangan sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Lantas, bersandarkan kepada kewajaran melihat ahli UMNO yang berjumlah lebih 3.4 juta, sememangnya memberi lebih hak kepada ahli untuk menentukan kepemimpinan dengan menggariskan syarat-syarat tertentu adalah perlu, dan inilah yang akan dilakukan!

(Sumber: UMNO Online - Bersempena Perhimpunan Agung UMNO kali ke-60)

No comments: