Wednesday, October 7, 2009

DOA IRINGI PERJUANGAN ISA SAMAD

PERSOALAN timbul di benak hati saya, "mampukah BN pertahankan kerusi DUN Bagan Pinang?". Sejak kerusi itu kosong apabila penyandangnya, YB Azman Mohd Noor meninggal dunia bulan lalu, macam-macam persoalan bermain di fikiran saya, apatah lagi sejak beberapa pilihan kecil diadakan di beberapa kawasan, BN sering dirundung malang.

Namun, selepas Timbalan Presiden UMNO TS Muhyiddin Yassin mengumumkan nama calon BN yang akan bertanding di DUN Bagan Pinang adalah TS Isa Samad, saya kembali ceria kerana saya tahu kekuatan serta pengaruh TS Isa di kawasan berkenaan cukup kuat dan mantap.

Susulan daripada itu, saya benar-benar yakin BN akan mampu mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang memandangkan UMNO kini berada dalam keadaan cukup stabil di kawasan Telok Kemang khususnya di Bagan Pinang.


UMNO Bagan Pinang mempunyai 12 cawangan dan kesemua cawangan itu tiada menghadapi masalah besar. Saya dapat lihat dari segi semangat, ‘mood’ di kalangan penyokong UMNO termasuk rakan parti komponen BN begitu tinggi sekali. Saya yakin pilihan raya kecil kali ini menjadi medan BN memulakan momentum kemenangannya.

TS Isa sebelum ini ada berkata, "Kita ingin menamatkan siri-siri kemenangan yang dibuat oleh pihak pembangkang pada pilihan raya kecil sebelum ini dan kita berharap dapat memulakan pula siri kemenangan bagi pihak BN di pilihan raya kecil kali ini.”

Ini menunjukkan semangat perjuangan TS Isa cukup kental dan saya yakin ia mampu direalisasikan oleh petugas BN yang sama-sama berjuangan di Bagan Pinang ketika ini.

Sepanjang saya berada di DUN Bagan Pinang sejak hari penamaan calon tempoh hari, saya dapati jentera UMNO BN telah mula mengatur persiapan serta strategi untuk memenangi hati pengundi. Saya amat teruja dengan sikap kerja keras mereka itu.
Apa yang penting, saya mengharapkan, semasa menghadapi pilihan raya ialah persefahaman dan penyelarasan jentera UMNO dan BN mesti mantap.

Saya bersama warga DUN Serkam sentiasa berdoa agar TS Isa mampu mencapai kemenangan bergaya dan cemerlang sepertimana yang diharapkan dan berharap BN akan terus berkuasa, bukan saja di Bagan Pinang, malah di seluruh negara.

Thursday, October 1, 2009

RUMAH TERBUKA DUN SERKAM

SAYA berterima kasih kepada lebih 7,000 penduduk pelbagai kaum di kawasan DUN Serkam telah menghadiri majlis Jamuan Hari Raya atau Rumah Terbuka DUN Serkam di Kompleks Japerun Serkam, di sini, 27 September lalu.

Rumah terbuka yang bermula seawal jam 9.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 4 petang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isterinya, Datin Seri Asmah Abd Rahman; beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; ADUN dan Ketua Jabatan.

Saya bersama isteri, Rubiah Edris turut mengundang 50 penghuni Rumah Budak Laki-Laki Tun Abd Aziz serta penghuni Rumah Anak Yatiim Fatimah Az-Zahra ke majlis rumah terbuka berkenaan.

Bagi saya, majlis rumah terbuka yang dianjurkan untuk kali kedua sebagai wakil rakyat itu adalah berkonsepkan 1Malaysia dan dilihat mampu menyerlah serta merealisasikan gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan situasi semasa dan amalan sejak sekian lama, rumah terbuka kali ini adalah satu platform untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan agama di negeri ini, khususnya di DUN Serkam.

Rumah terbuka ini perlu dikongsi dan diraikan bersama dan pendekatannya lebih kepada usaha mengeratkan hubungan persahabatan, bukan secara amalan agama yang mana ianya boleh dilaksanakan menerusi amalan rumah terbuka seperti ini.

Majlis berkonsepkan 1Malaysia pada kali ini adalah dengan tujuan supaya rakyat bangsa lain tidak terasa terpinggir pada sambutan Aidilfitri yang di sambut oleh umat Islam.


Sekali lagi saya berterima kasih kepada semua. Mudah-mudahan, usaha kita akan sentiasa diberkati Allah SWT. Insya Allah..

Thursday, September 10, 2009

PRK BAGAN PINANG: JANGAN ULANGI SEJARAH `DUKACITA'

TIDAK SAMPAI sebulan kita mendapat berita kematian ADUN Permatang Pasir, Tuan Mohd. Hamdan bin Abd. Rahman yang membawa kepada Pilihan Raya Kecil pada 25 Ogos lalu, kini kita dikejutkan pula dengan kematian ADUN Bagan Pinang, Azman Mohd. Noor dari Barisan Nasional (BN) yang bakal menyaksikan satu lagi pertembungan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu tidak lama lagi.

Bagi saya, sudah menjadi kebiasaan apabila ada kematian membabitkan ADUN atau Ahli Parlimen, pilihan raya kecil hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.

Saya bagi pihak rakyat di DUN Serkam mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azman dan kami sentiasa berdoa agar roh beliau ditempatkan dalam golongan orang yang soleh, insya Allah.

Bercakap mengenai pilihan raya kecil ini, saya ingin menarik perhatian pembaca bahawasanya, sebelum ini BN belum berjaya untuk merebut kerusi yang ditandinginya bersama parti pembangkang dan tidak mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenenanginya pada pilihan raya umum lalu.

Umum mengetahui bahawa BN kalah pada hampir semua PRK itu, namun hakikatnya BN sebenarnya masih `belum menang' merebut kerusi itu. Itulah yang dinyatakan teman saya yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Ahmad Maslan tempoh hari.

Namun, selepas ini saya mengharapkan agar sejarah `dukacita' tidak berulang lagi dan yakin DUN Bagan Pinang mampu dipertahankan untuk memastikan rakyat terus mendapat pembelaan daripada mendapat pembelasahan daripada pembangkang.

Saya doakan kemenangan BN di Bagan Pinang. Walaupun siapa pun calonnya, saya yakin BN mampu bertahan berikutan angin perubahan dilihat semakin menyebelahi kita.

Dalam pilihanraya umum lalu, Azman, menang dengan mendapat 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang mendapat undi.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi yang 66 peratus Melayu, Cina (10.5%), India (19.9%) dan lain-lain (3.5%).

Kerusi DUN Bagan Pinang secara tradisinya adalah kubu BN. Sebelum ini calon BN, Mohd Faizal Ramli memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,411 undi. Bagaimanapun dalam situasi politik negara sekarang, adalah jelas sekali, pilihan raya kecil yang bakal diadakan nanti pasti menyaksiakan persaingan yang sengit.

Apatah lagi Parlimen Telok Kemang sekarang dikuasai oleh Parti Keadilan Rakyat. Terdapat lima DUN di dalam kawasan Parlimen Telok Kemang. Tiga dikuasai oleh pembangkang manakala BN dua kerusi.

Kerusi-kerusi yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah DUN Chuah (PKR), DUN Lukut (Dap) dan DUN Port Dickson (PKR).

Manakala DUN yang dikuasai BN pula selain Bagan Pinang ialah DUN Linggi.

Hidup BN!!!

SALAM RAMADAN

Di kesempatan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa. Semoga amalan kita diberkati Allah SWT hendaknya.

Wednesday, August 19, 2009

FATWA `GILA' NIK AZIZ

PELIK benar saya lihat kenyataan dan perangai seorang insan bernama Nik Aziz Nik Mat yang digelar `tok guru', sejak akhir-akhir ini. Beliau diibaratkan sebagai `cakap lepas' khususnya berkaitan agama semata-mata untuk mempertahankan perjuangan politik yang diperjuangkan bersama penyokong-penyokongnya.

Kini, Nik Aziz buat hal lagi...Satu lagi `fatwa' dan pandangan `gila' yang dikeluarkan beliau pada PRK Permatang Pasir. Dia telah mengisytiharkan bahawa ahli UMNO tidak masuk syurga, sebaliknya hanya ahli Pas saja yang akan masuk syurga.

Nik Aziz seolah-olah telah mengambil tugas sebagai Tuhan yang menentukan keimanan dan ketaqwaan serta Islam atau tidak seseorang itu. Sehingga beliau boleh menentukan seseorang itu boleh masuk syurga atau tidak.

Ayat Al-Quran atau hadis mana yang dirujuk untuk menentukan seseorang itu mesti menjadi ahli Pas baru layak masuk syurga?? Ini jelas menunjukkan penyelewengan dan penipuan Pas untyk mengaut sokongan dan kerana gila kuasa dan Nik Aziz sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkannya.

Bertopengkan parti berjenama Islam, Pas seolah-olah satu-satunya kelompok manusia di dunia ini yang Islam. Dari pandangan Islam, apa hukumnya seseorang Islam menjatuhkan hukum orang Islam lain sebagai tidak Islam atau tidak beriman??

Inilah cara Pas menipu orang ramai. SEDARLAH!!! Wahai umat Islam apa yang diperjuangkan oleh Pas ini hanyalah semata-mata gila kuasa dan sanggup menjual agama dan maruah bangsa.

Friday, August 14, 2009

FORUM PERDANA MENJELANG RAMADAN DUN SERKAM

SEMPENA menyambut ketibaan Ramadan Al-Mubarak, JAPERUN Serkam akan menganjurkan Forum Perdana pada 14 Ogos 2009, 8.45 malam di Kompleks JAPERUN Serkam.

Ahli panel yang terlibat adalah Y.bhg Datuk Kamaruddin Zakaria; Ustazah Zawiyah Hasan dan dipengerusikan oleh Ustaz Hj Sulaiman Daud.

Tuan/Puan, Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.