Wednesday, May 13, 2009

SELAMAT HARI IBU

TANGGAL 10 Mei lalu, JAPERUN Serkam bersama Penyelaras Wanita UMNO DUN Serkam telah menganjurkan Sambutan Hari Ibu di Kompleks JAPERUN Serkam. Tahniah saya ucapkan kepada semua mereka yang terlibat dalam menjayakan program yang julung kali diadakan itu.

Di kesempatan ini, saya suka menasihatkan kepada semua, termasuk diri saya supaya sentiasa menjaga ibu bapa kita yang tua dan uzur dengan baik, sepertimana mereka menjaga kita satu ketika dulu.

Cuba kita fikir, jika ibu kita tidak menjaga kita semasa kecil, bagaimana agaknya nasib kita sekarang. Mungkin kita tidak mendapat pekerjaan yang baik, atau mungkin kita sudah terjebak dengan gejala tidak baik dan melanggar undang-undang negara.

Namun, Alhamdulillah. Kita wajib bersyukur kehadrat Allah kerana memasukkan kita ke dalam golongan yang mempunyai ibu bertanggungjawab dan sayang kepada kita.

Bagaimanapun, kepada insan yang sudah kehilangan ibu, saya menasihatkan agar sentiasa berdoa supaya roh ibu kita dicucuri rahmat dan ditempatkannya ke dalam golongan orang yang Solehah.

Di kesempatan ini, saya ingin meluahkan rasa kecewa kerana masih ada lagi manusia yang sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua.

Apakah mereka tidak sedar sekiranya tanpa ibu bapa mereka, mereka kini mungkin sudah menjadi insan yang jahil, insan yang tidak ada ilmu dan insan yang tidak mempunyai adab kepada orang lain.

Kita harus sedar, ibu bapa adalah segala-galanya bagi kita. Kita wajib mentaati mereka. Kita perlu menuruti segala kehendak mereka. Tanpa ibu bapa, siapalah kita.

TERIMA KASIH IBU..!

Friday, May 8, 2009

SAMBUTAN HARI IBU DUN SERKAM

BUAT julung kali, DUN Serkam akan menganjurkan Sambutan Hari Ibu, yang bertujuan meraikan semua insan bergelar `IBU' di kawasan ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Penyelaras Wanita UMNO DUN Serkam dan JAPERUN Serkam ini akan berlangsung Ahad ini, bermula jam 8 pagi di Kompleks JAPERUN Serkam.


Pelbagai acara disediakan untuk disertai bersama semua warga DUN Serkam. Sehubungan itu, tuan/puan dipelawa hadir ke program yang julung kali diadakan ini.

Wednesday, May 6, 2009

LAWATAN KETUA MENTERI KE HAB HALAL MELAKA




LAWATAN mengejut YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ke Kawasan Perindustrian Hab Halal Melaka di Serkam Darat, memberi banyak manfaat khususnya kepada proses mempercepatkan pengoperasian kawasan berkenaan.

Ini kerana, banyak kemudahan asas yang selama ini tertangguh pemasangannya dapat diselesaikan dengan baik dan berkesan apabila Ketua Menteri sendiri mengambil tindakan segera terhadap pihak yang berkenaan.

Antaranya, kelewatan pemasangan bekalan eletrik oleh TNB, akan diselesaikan segera oleh pihak terbabit apabila Datuk Seri Mohd Ali Rustam menelefon pegawai kanan di peringkat negeri supaya menyegerakan pemasangannya.

Begitu juga dengan pengeluaran Sijil Layak Menduduki (CF), Datuk Seri meminta Yang Dipertua MPJ, Haji Murad Husin mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara itu.


Banyak lagi faedah secara langsung diperoleh hasil lawatan mengejut itu. Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas kesempatan beliau melawat kawasan Hab Halal berkenaan.


Insya Allah, Kawasan Hab Halal Serkam ini akan beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pertengahan bulan ini.

SEDIH.. TERHARU... SIMPATI..



SAYA sempat menziarahi keluarga seorang wanita yang terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta ketika dia sedang menunggu bas ke tempat kerja, malam semalam.

Pada kunjungan berkenaan, saya dapat melihat sendiri bagaimana keadaan tiga daripada empat anak gadis mangsa, Allahyarham Rossita Zainal, untuk mengharungi hidup tanpa mendapat kasih sayang dan belaian ibu tersayang.


Saya difahamkan, bapa mereka, Allahyarham Bujang sudah meninggal dunia lapan tahun lalu dan kini mereka terpaksa menumpang kasih kepada nenek mereka yang sudah uzur, Rahmah Kassim.

Bagi pihak Kerajaan Melaka, saya mengucapkan takziah kepada keluarga ini dan amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini. Bantuan berupa barangan makanan yang disumbangkan MAIM kepada keluarga ini akan diteruskan, manakala bantuan pendidikan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) akan diusahakan secepat mungkin.


Saya harap mereka bersabar dan kita yang lengkap segalanya ini perlu bersyukur dengan apa yang ada dan dikurniakan Allah SWT kepada kita.

HARAPAN MENGGUNUNG TERHADAP MEDIA




SAYA berterima kasih kepada Kelab Media Massa Melaka (KEMM) yang diketuai Saudara Mohd Raffi Bachik yang telah mengadakan kunjung hormat ke atas saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Serkam, Isnin lalu (5 Mei 2009).

Bagi saya, kunjungan warga media ke DUN ini menggambarkan satu petanda baik terhadap hubungan setia kawan yang sudah lama terjalin, sejak saya belum bergelar Yang Berhormat.


Namun begitu, saya mengharapkan agar KEMM akan terus tampil sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Melaka yang paling fleksibel dalam membantu Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyalurkan maklumat tepat, padat dan benar untuk tatapan masyarakat.

Saya yakin, semua ahli KEMM sudah matang dalam tugasan masing-masing dan sehingga kini, saya tidak nampak sebarang kesilapan yang dilakukan pengamal media sehingga boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara dan negeri kita tercinta ini.

Dalam masa sama, saya mengharapkan agar semua pihak supaya dapat memberi kerjasama kepada media dalam semua perkara. Usahlah jadikan media ini sebagai medan untuk mencari publisiti murahan yang mungkin membuatkan orang lain terasa hati atau mungkin memandang serong terhadap sesuatu pihak.


Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada kepimpinan baru KEMM dan berharap KEMM akan dapat bekerja keras untuk membantu usaha Kerajaan Negeri Melaka mencapai negeri maju pada 2010.

Sunday, April 26, 2009

PEMBANGKANG JANGAN SIBUK HAL UMNO

SAYA menyokong pelantikan YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, pada 24 April 2009.

Bagaimanapun, saya amat dukacita dengan kenyataan parti pembangkang yang tidak setujui mengenainya, macam mereka pula yang hendak tentukan siapa yang patut dilantik dan siapa yang patut digugurkan dalam kepimpinan Kerajaan BN di Melaka.

Dalam hal ini, sudah dijelaskan dengan panjang lebar di Persidangan DUN Melaka dan usul yang dibawa oleh DAP telah ditolak, tetapi masih lagi nak diungkit-ungkit.

Tiada bukti YAB Ketua Menteri Melaka bersalah..!!. Yang ada ialah dipertanggungjawabkan kerana disyaki petugas-petugas beliau ada melakukan kesilapan dan melanggar Tata Etika Pemilihan Parti UMNO dan beliau tidak diizinkan bertanding dalam pemilihan parti. Itu saja....

Tidak ada kesalahan jenayah yang dilakukan dan tidak ada mana-mana mahkamah di Malaysia yang ada merekodkan kesalahan yang dilakukan oleh YAB Ketua Menteri Melaka.

UMNO Melaka masih ramai lagi pemimpin yang berkaliber, tetapi pemimpin UMNO Melaka tidak berebut jawatan dan kami masih lagi percaya dan memerlukan YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam untuk memimpin dan membangunkan Melaka.

Majoriti warga Melaka yang masih sayang dan memerlukan kepimpinan beliau. Hanya segelintir, termasuk pemimpin parti pembangkang saja yang kurang setuju.


Tidak tahu apa alasan mereka, sama ada mahu mencari publisiti murahan atau mereka takut cara pentadbiran Datuk Seri Mohd Ali memimpin Melaka hingga boleh menggugat pengaruh atau populariti mereka.

Rakyat Melaka jangan terpengaruh dan terikut-ikut dengan dakyah pembangkang kerana mereka hanya mencari publisiti murah atas orang lain.

Mengapa nak sibuk sangat dengan hal UMNO? Jagalah rumah sendiri...

Saturday, April 25, 2009

TAHNIAH DATUK SERI..!!

TAHNIAH diucapkan kepada YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam kerana diberi kepercayaan untuk terus memimpin UMNO Melaka.

Warga DUN Serkam merasa bangga dengan kepercayaan ini daripada kepimpinan tertinggi UMNO.

Memang telah dijangkakan perkara ini akan berlaku kerana ketokohan, kepimpinan dan kreativiti YAB Ketua Menteri menyatukan rakyat Melaka dan membangunkan Negeri Melaka sehingga menjadi salah sebuah negeri yang termaju dalam Malaysia.

TAHNIAH DATUK SERI MOHD ALI RUSTAM..!!!