Sunday, November 22, 2009
SALAM AIDILADHA
Saya mengharapkan doa daripada semua pembaca budiman sekalian. Salam Aidiladha dari saya dan keluarga.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walilahilhamd..
Sunday, November 8, 2009
SEMINAR PAS: BUKTI AHLI SEMAKIN KELIRU
SEMINAR Khas Pas yang berlangsung semalam membuktikan kekaburan masa depannya apabila ramai dikalangan ahlinya menunjukkan rasa keliru atas pendirian pucuk pimpinan termasuklah Presidennya, Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Nik Aziz.
Apa yang pasti, hasil daripada seminar yang kononnya diadakan bagi memperkasakan parti Pas yang semakin suram dan tenggelam ini bagaikan membuka pekung di dada bahawa impian untuk bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin Pas.
Menerusi seminar ini ternyata ketidakpuasan hati yang selama ini cuba disembunyikan terluah juga lantas mempertikaikan kerjasama politik yang dilakukan oleh Pas bersama DAP dan PKR.
Ada perwakilan lantang mempertikaikan hala tuju Pas dan mahukan pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu, selain gesaan terhadap pucuk pimpinan agar tidak mengenepikan idealogi semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
Biarpun pada akhir seminar tersebut, Pas menetapkan lima resolusi sebagai matlamat parti tapi yang jelas bahawa antara resolusi tersebut secara tidak langsung mendedahkan bahawa sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang semakin tenggelam.
Antara lain, Pas mahu meningkatkan kempennya yang bertemakan ‘Pas Untuk Semua’, iaitu tema yang digunakan selepas membentuk gabungan dengan DAP dan PKR sedangkan idealogi asal iaitu sebuah negara Islam langsung tidak disebutkan.
Sesungguhnya biarpun seminar tersebut diadakan bagi membingkan isu-isu dalamannya tetapi Pas masih lagi mahu ‘menjaga hati’ DAP dan PKR lantas pandangan untuk menegakkan perjuangan Islam tidak disebut kerana sudah pasti ia tidak diterima oleh DAP dan PKR.
Seminar tersebut diadakan ekoran polemik dalaman daripada pertentangan pendapat antara Hadi dan Nik Aziz lantas Nik Aziz mahukan Muktamar Khas (EGM) dibuat bagi menukar beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah; bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO yang bertentangan keputusan Muktamar Pas Jun lalu.
Antara pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.
Bagaimanapun pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat 28 Oktober lalu memutuskan untuk tidak mengadakan EGM sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan parti.
Tuesday, November 3, 2009
TUBUH 1 PARTI MEWAKILI BN: MASA BELUM SESUAI
Sebenarnya, semua rakyat Malaysia perlu memahami, menjiwai, mematuhi, menerima dan menjayakan inti pati serta semangat yang ada dalam Perlembagaan Negara, dasar dan konsep yang diwujudkan ke arah perpaduan selain semangat muhibbah dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia.
Contohnya, berkongsi kekayaan negara secara saksama bagi mengimbangi pengusaan ekonomi negara. Dasar pendidikan negara dijayakan dan perlu diterima tanpa mengutamakan kepentingan kaum. Contohnya, sekolah satu aliran perlu diterima oleh semua kaum tanpa perlu ada sekolah jenis kebangsaan lagi.
Semua kaum perlu akur semua yang tertulis dan dinyatakan dalam Perlembagaan Negara tanpa rasa curiga serta prasangka kepada kaum lain, kerana dengan kefahaman dan penjiwaan yang mendalam terhadap semua ini, sambil dilengkapi dengan dasar-dasar yang diwujudkan untuk kebaikan dan keutuhan bersama, barulah boleh bincang dan pertimbangkan pengwujudkan satu parti untuk semua kaum di negara ini.
Dah terlalu banyak kaum Bumiputera bertolak, berundur, beransur, bertolak, diundur dan diansur. Semuanya demi sikap dan semangat setiakawan yang tinggi di kalangan kaum Bumiputera.
Oleh itu, kaum lain juga perlu ingat dan pertimbangkan sumbangan mereka (Bumiputera) ke arah semangat dan penjiwaan setiakawan ini menuju kejayaan konsep 1Malaysia.
Sunday, October 25, 2009
EGM PAS: KELADAK DALAM PAS TERKELUAR JUGA

Dalam Berita Minggu hari ini (Ahad), tiga pemimpin kanan Pas yang dikatakan 'bermasalah' yang didakwa Nik Aziz perlu dibersihkan daripada parti itu, tidak memberikan sebarang reaksi mengenainya, sebaliknya Nik Aziz tetap mahu EGM parti diadakan demi mengetengahkan kebenaran dakwaannya itu.
Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali memilih untuk berdiam diri, termasuk mematikan telefon bimbit masing-masing dan tidak menghadiri majlis yang dijadualkan membabitkan mereka.
Friday, October 23, 2009
SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI
ALHAMDULILLAH, kita kini sudah melangkah ke bulan Zulkaedah, selepas sebulan kita merayakan Aidilfitri. Bulan depan pula, kita akan mengunjungi bulan Zulhijjah yang mana dalam bulan ini akan berlaku satu perkara yang sangat wajib dalam Islam iaitu menunaikan haji.Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada rakyat Malaysia dan Melaka amnya dan warga DUN Serkam khasnya yang telah terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Semoga anda semua selamat berlepas dan selamat kembali dengan jayanya. Gunalah semua peluang dan ruang semasa berada di bumi bertuah ini untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Buat sahabat handai, saudara serta ahli keluarga yang akan ke Mekah, diharapkan sudi mendoakan saya, keluarga, rakan-rakan serta seluruh kaum muslimin serta muslimat dalam doakan kalian agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki serta disihatkan tubuh badan supaya segala perkara baik yang dihajatkan selama ini akan dimakbulkan Allah SWT.
Pada kebiasaannya setiap kali memasuki bulan Zulhijjah, maka di antara peristiwa yang sering meniti di bibir kita ialah peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim AS dan anaknya Nabi Allah Ismail AS serta Isteri Baginda Siti Hajar.
Banyak pengajaran dari peristiwa tersebut yang boleh menjadi iktibar kepada kita umat Islam di Malaysia. Korban yang kita lakukan setiap kali menyambut Hari Raya Haji ialah mengambil sempena pengorbanan kedua beranak yang patuh kepada arahan Allah SWT sepenuh jiwa raga.
Bagaimana kita sebagai umat Islam diharapkan agar dapat mencontohi akhlak baginda Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail yang sentiasa patuh kepada suruhan Allah SWT sepanjang hidupan Baginda berdua, Insya Allah.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji dan semoga mendapat Haji yang mabrur. Kepada Rakyat Malaysia yang tidak ke Mekah diucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Korban dan semoga korban kita dalam apa jua bentuk di terima oleh Allah SWT. - Insya Allah.
Tuesday, October 13, 2009
UMNO DAN PERUBAHAN
BAGI memastikan kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti yang tetap kukuh dan teguh pada masa hadapan, sememangnya perubahan dilakukan dengan kesesuaian sebagai landasan utama meneruskan perjuangan termasuklah meminda perlembagaan yang akan direalitikan dalam persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2009 ini.Usul pindaan tersebut yang akan dibahaskan oleh para perwakilan juga bertunjangkan empat perkara iaitu : -
Selaras dengan itu juga, ia adalah untuk memastikan bahawa UMNO menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif berdasarkan pindaan yang menjurus kepada lapan perkara pokok membabitkan: -
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO pernah memaklumkan bahawa dengan pindaan tersebut purata 500 perwakilan setiap satu daripada 191 UMNO bahagian (dengan jumlah keseluruhan 146,500 orang) akan terbabit dalam proses pemilihan barisan kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mulai 2011. Daripada jumlah itu, 51,000 adalah daripada kalangan sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.
Lantas, bersandarkan kepada kewajaran melihat ahli UMNO yang berjumlah lebih 3.4 juta, sememangnya memberi lebih hak kepada ahli untuk menentukan kepemimpinan dengan menggariskan syarat-syarat tertentu adalah perlu, dan inilah yang akan dilakukan!
Sunday, October 11, 2009
BAGAN PINANG: KEMENANGAN BERGAYA TS ISA MEMBAWA SEJUTA MAKNA
ALHAMDULILLAH, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kekuatan untuk membolehkan BN terus bertapak di bumi Bagan Pinang. Saya beserta seluruh warga DUN Serkam, mengucapkan tahniah kepada TS Isa Samad atas kemenangan bergayanya itu.Saya juga mengucapkan jutaan tahniah kepada semua jentera pilihan raya BN N31 DUN Bagan Pinang yang telah bertungkus lumus semata-mata menjayakan misi dan visi kemenangan TS Isa Samad selaku calon BN di kawasan itu.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pengundi DUN Bagan Pinang yang berjaya `memiliki' seorang wakil rakyat baru meskipun beliau `orang lama' dalam politik khususnya di Negeri Sembilan.
Namun, dalam keghairahan kita meraikan kejayaan, saya teringat kelakuan sesetengah pihak yang begitu taksub berkempen hingga melanggar arahan serta peraturan yang ditetapkan SPR. Mereka bukan saja berkempen melebihi waktu ditetapkan, malah berlagak seperti `sudah menang'.
Mereka sewenang-wenangnya berkumpul di tepi-tepi jalan raya dan menahan kereta sesuka hati menyebabkan laluan menjadi sesak. Mereka langsung tidak menghormati pihak polis yang berada di situ. Saya kesal dengan keadaan itu.
Apa pun, saya berharap pihak yang tewas dapat menerima berita yang mungkin menyedihkan ini dan anggaplah kemenangan BN ini sebagai pelaksanaan sistem demokrasi yang adil selain menghormati keputusan dibuat rakyat serta pengundi Bagan Pinang.
Tahniah TS Isa, tahniah kepada semua. Hidup BN!!
