Tuesday, April 14, 2009

PEMBANGUNAN SEIMBANG DI DUN SERKAM





SAYA telah ditemubual di stesen radio Melaka FM, pagi tadi (Selasa, 14 April 2009) mengenai pelaksanaan projek pembangunan di DUN Serkam sejak dipertanggungjawabkan untuk berkhidmat di kawasan ini bermula Mac tahun lalu.


Menerusi program temu bual bersama juruhebah Melaka FM, Azahari Mohd Yatim dan Daim Zainuddin itu, saya telah menerangkan mengenai pelaksanaan projek pembangunan seimbang yang telah saya bersama-sama rakan-rakan dalam DUN ini rangka bagi memastikan penduduk merasai nikmat kemajuan yang dikecapi negara ketika ini.


Berikut adalah fakta semasa ditemubual di stesen radio berkenaan.


KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam mempunyai keluasan kira-kira 46.53 kilometer persegi dengan jumlah penduduknya seramai 26,245 orang. DUN Serkam mempunyai 12 kampung tradisional merangkumi 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


PROJEK PEMBANGUNAN

SEJAK diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk memimpin dan mentadbir


DUN Serkam bermula Mac tahun lalu, pelbagai usaha pembangunan dirancang bagi memastikan penduduk pelbagai kaum di kawasan ini merasai bersama nikmat kemajuan yang dikecapi negara.


1. PROJEK PEMBANGUNAN PRODUK PELANCONGAN (HOMESTAY)


SEBAGAI sebuah kawasan yang berpotensi dalam bidang pelancongan, DUN Serkam akan memberi tumpuan kepada produk sedia ada iaitu Homestay. Di DUN Serkam, Homestay Pulai Desaku Permai dikenal pasti sebagai sebuah organisasi paling aktif di negeri ini apabila berjaya menaikkan nama Melaka dan Serkam di peringkat lebih tinggi.


Sejak mula ditubuhkan pada tahun 1997, Homestay Pulai Desaku Permai berjaya menarik lebih 5,000 pelancong dalam dan luar negara termasuk dari Jepun, Australia dan Korea. Terbaru, Homestay Pulai Desaku Permai menerima kunjungan 50 pelajar dari Universiti Malaya serta 40 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mahu mendalami kegiatan dan cara kehidupan masyarakat kampung.


Sehingga kini, Homestay Pulai Desaku Permai disertai 35 peserta, bukan saja dari Kampung Pulai, malahan juga dari kampung berhampiran seperti Seri Minyak, Umbai dan Serkam Darat.


2. PROJEK PEMBANGUNAN PRODUK PELANCONGAN (IKAN BAKAR)



SEJAJAR dengan populariti Serkam sebagai pusat pengeluar makanan berasaskan makanan laut, Medan Ikan Bakar kini menjadi antara mercu tanda paling gemilang, bukan saja di Melaka, malah di seluruh negara.


Antara paling popular adalah Medan Ikan Bakar Serkam yang mula diwujudkan sejak tahun 50-an hingga kepada pengwujudan Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) di Umbai Baru yang siap dibina pada 2004. Di Serkam saja, terdapat empat medan ikan bakar yang popular iaitu Medan Ikan Bakar Serkam, Medan Ikan Bakar Umbai, Medan Ikan Bakar Anjung Batu dan Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai Baru.


PIBT yang diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Melaka Holdings (PMH) adalah paling ramai dikunjungi pengunjung khususnya pada hujung minggu dan cuti umum kerana selain mempunyai pelbagai juadah menarik, lokasinya strategik dan kecekapan pihak pengurusan menyediakan pesanan pelanggan.


Sehubungan itu, satu lagi kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai medan ikan bakar ialah Pantai Siring di Kampung Pulai.


3. PROJEK PEMBANGUNAN JALAN PERSISIR PANTAI


BAGI mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, selain memberi peluang kepada pengusaha produk makanan di persisir pantai sekitar DUN Serkam, Kerajaan Negeri juga sudah bersetuju untuk membina Jalan Persisiran Pantai yang menghubungkan antara Bandar Melaka ke kawasan ini.


Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan projek terbabit dari Jalan Syed Abdul Aziz ke Kampung Limbongan sejauh 2.4 kilometer. Justeru, jalan sambungan bermula dari Padang Temu hingga ke Merlimau sepanjang kira-kira 8 kilometer akan diteruskan bagi kemudahan semua.


4. PROJEK PEMBANGUNAN KAWASAN PERINDUSTRIAN PRODUK MAKANAN HALAL SERKAM, MELAKA


SATU lagi mercu tanda bagi DUN Serkam ialah kewujudan Kawasan Perindustrian Produk Makanan Halal Serkam, Melaka atau dikenali sebagai Hab Halal.


Sebuah kawasan seluas 127 ekar telah dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Serkam untuk tujuan berkenaan. Daripada jumlah keluasan itu, 47 ekar dibangunkan untuk Fasa I, manakala selebihnya iaitu 80 ekar untuk Fasa II.


Selain lot-lot tanah yang ditawarkan, PKNM dengan sokongan peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) telah mendirikan kilang-kilang kembar dan rumah-rumah kedai untuk disewa oleh syarikat serta inividu yang berminat.


Kawasan Perindustrian Serkam adalah tapak perindustrian pemprosesan produk halal yang terletak dalam kawasan Serkam. Antara insfrastruktur yang disediakan ialah sistem pengaliran yang baik, kolam takungan pencegahan banjir, perkhidmatan telekomunikasi serta bekalan eletrik yang mencukupi.


Industri : Kawasan Perindustrian Serkam

Mukim/Daerah : Serkam, Merlimau, Melaka

Keluasan : 127 ekar @ RM10.00 s.k.p

Jumlah Lot : 197 Lot

Lot Dijual : 15 Lot

Lot Kosong : 182 Lot


Dengan gabungan kepakaran, pengetahuan dan kemahiran yang ada, kawasan perindustrian ini akan dapat menarik minat pelabur, pekilang, penyelidik, pembangunan perkhidmatan dan usahawan tekno. Diharapkan pada masa hadapan akan terdapat kilang yang dapat mempelbagaikan keperluan makanan harian di kawasan umum bagi memenuhi permintaan dan kemudahan di samping mengawal kualiti makanan tersebut.


Dengan adanya Hab Halal ini, secara tidak langsung bakal menjadikan Serkam sebagai pusat pengeluar makanan halal terbesar di Negeri Melaka.


5. SERKAM SEBAGAI PENGELUAR TELUR TERBESAR DI MALAYSIA


SERKAM, ketika ini bukan saja terkenal sebagai pengeluar produk makanan berasaskan makanan laut seperti ikan bakar, malahan juga menjadi kawasan ternakan ayam telur serta pengeluar telur ayam terbesar di negara ini.


Pada tahun 2008 saja, industri ayam penelur telah menyumbang sebanyak 2.0 bilion biji telur ayam dengan nilai RM0.6 bilion. Pencapaian ini amat membanggakan dan diharap ia menjadi contoh kepada negeri lain, khususnya dalam bidang ternakan ayam telur seperti ini.


6. PROJEK PEMBANGUNAN KUALA NELAYAN


KERAJAAN Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM15 juta bagi projek pembangunan empat (4) kuala nelayan di sekitar DUN Serkam membabitkan Kuala Umbai, Kuala Pantai Siring di Kampung Pulai, Kuala Serkam Pantai dan Kuala Sempang Pantai.


Daripada jumlah berkenaan, RM6 juta diperuntukkan untuk pembangunan Kuala Umbai, RM2 juta bagi pembangunan Kuala Sempang Pantai, manakala Kuala Pantai Siring dan Kuala Serkam Pantai masing-masing diperuntukkan sebanyak RM3.5 juta.


Sehubungan itu, penduduk DUN Serkam berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang amat prihatin dengan soal pembangunan masyarakat nelayan di kawasan ini.


7. PROJEK PEMBANGUNAN RAKYAT


BAGI projek pembangunan rakyat, Kerajaan Persekutuan, melalui Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan berjuta ringgit semata-mata untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa di bumi bertuah ini.

Pembangunan itu termasuklah projek bagi kemudahan insfrastruktur asas (PIAS) bernilai RM1.2 juta, membabitkan pembinaan longkang konkrit, penurapan jalan serta menaik taraf parit sedia ada kepada yang lebih baik bagi mengelakkan kejadian banjir kilat daripada terus membelenggu masyarakat.


8. PROGRAM PEMBANGUNAN BELIA


MEMANG tidak dinafikan golongan belia berperanan besar dalam proses pembangunan di kawasan ini. Di DUN Serkam saja, terdapat 11 persatuan belia yang aktif dalam pelbagai aktiviti.


Bagi memastikan golongan ini sentiasa diberi perhatian, beberapa aktiviti sedang dilaksanakan dan dirancang. Antaranya ialah Pertandingan Bola Sepak DUN Serkam yang diadakan sepanjang tahun. Turut akan diadakan ialah Pertandingan Bola Tampar, Bola Jaring dan Sepak Takraw yang akan bermula pada Mei hingga Jun. Semua aktiviti itu akan berlangsung menerusi Kelab Sukan Komuniti DUN Serkam.


9. PROJEK PEMBANGUNAN KEAGAMAAN DAN PENDIDIKAN


BAGI melaksanakan pembangunan secara seimbang, DUN Serkam juga memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan keagamaan. Antara yang ialah membina baru bangunan dua tingkat Sekolah Rendah Agama, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Kampung Tedong bernilai RM1.2 juta.


Selain itu, kerja-kerja menaik taraf bangunan Sekolah Rendah Agama Berangan Enam bernilai RM150,000.00. Turut dinaik taraf ialah Sekolah Rendah Agama Al-Falah, Serkam Timur (RM190,000.00), Masjid Sempang (RM50,000.00), Masjid Paya Tanjung (RM40,000.00) serta Masjid Serkam Darat (RM40,000.00).


Kerajaan, melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) juga menyalurkan peruntukan berjumlah RM680,000 sepanjang tahun lalu bagi melaksanakan projek pembangunan insfrastruktur demi keselesaan penduduk.


10. PROJEK PEMBANGUNAN PERUMAHAN


DALAM sektor perumahan, Serkam kini mempunyai 16 buah taman perumahan yang dibangunkan pihak kerajaan dan swasta iaitu : -


Taman Panglima Pak di Sempang

Taman Seri Sempang

Taman Seri Serkam

Taman Serkam Jaya

Taman Serkam Baru

Taman Serkam Maju

Taman Koperasi

Taman Pulai Jaya

Taman Datuk Haji Ab Aziz Pulai

Rumah Awam Pulai

Taman Datuk Haji Ab Aziz Pulai Fasa II

Taman Pulai Indah

Taman IKS Pulai /Serkam

Taman Pahlawan

Taman Bukit Tembakau

Taman Balkis di Bukit Tembakau


Bagi menampung permintaan ramai berikutan peningkatan jumlah penduduk, pihak kerajaan bakal membina 170 unit rumah kos rendah di Taman Pulai Indah bagi Fasa II tidak lama lagi. Pembinaan itu membabitkan kawasan seluas 12 ekar.


11. PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN


DALAM usaha membasmi kemiskinan, khususnya di DUN Serkam, kerajaan telah menyalurkan bantuan membina rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Untuk DUN Serkam saja, bagi tahun 2008, sejumlah RM600,000.00, membabitkan 61 buah rumah. Daripada jumlah itu, 16 unit rumah diluluskan untuk dibina baru, manakala 45 unit lagi diluluskan untuk dibaiki


Sementara itu, sehingga 2 April lalu, kerajaan sudah membelanjakan RM159,000.00 untuk membina 2 rumah PPRT baru dan membaiki 16 rumah.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu masyarakat kurang berkemampuan di DUN Serkam bagi menaik taraf kehidupan mereka. Sehingga bulan ini (April), JKM sudah membantu 664 penerima di DUN Serkam dengan jumlah RM154,030.00 sebulan. Bantuan itu membabitkan Bantuan Am Negeri bejumlah RM39,930.00, Bantuan Am


Persekutuan (RM14,130.00), Bantuan Kanak-Kanak (RM46,550.00), Bantuan Orang Tua (RM51,300.00), Elaun Pekerja Cacat (RM32,100.00), Bantuan O.K.U Terlantar / Pesakit Kronik (RM9,000.00) dan Bantuan O.K.U Tidak Berupaya Bekerja (RM750.00).


Bagi merancakkan lagi usaha pembasmian kemiskinan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut sama-sama membantu golongan kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik di DUN Serkam.


Sepanjang tahun lalu, MAIM meluluskan sebanyak 183 permohonan bantuan, manakala 42 pemohon lagi dibantu untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini (Januari – Mac). Bantuan itu melibatkan 4 kategori iaitu Bantuan Perniagaan, Bantuan Haemodialisis, Bantuan Bulanan dan Bantuan Sukarelawan.

** Terdapat beberapa lagi permohonan masih dalam proses kelulusan.


Bagi Bantuan Fakir / Miskin untuk tempoh sepanjang tahun lalu, seramai 147 permohonan telah diluluskan. Daripada jumlah itu, 55 untuk Bantuan Keluarga Kecil, 2 Bantuan Keluarga Besar, 59 Bantuan Tahunan, 28 Bantuan Am dan 3 Bantuan Projek Usahawan atau Skim Bantuan Rawatan Sakit Buah Pinggang.


Untuk tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 38 permohonan bagi Bantuan Fakir / Miskin sudah diluluskan. Daripada jumlah itu, 23 untuk Bantuan Keluarga Kecil, 1 Bantuan Keluarga Besar, 7 Bantuan Tahunan dan 7 Bantuan Am.


MAIM, Pejabat Daerah Jasin dan Majlis Perbandaran Jasin juga telah menawarkan pekerjaan kepada 32 golongan miskin di DUN Serkam untuk tahun 2009. Pekerjaan itu membabitkan kerja-kerja pembersihan bangunan awam seperti masjid, surau, balai raya, sekolah dan perpustakaan.

Tuesday, April 7, 2009

NGA PERLU MOHON MAAF SECARA TERBUKA


SAYA agak terkejut apabila menonton siaran berita di TV beberapa hari lalu yang menyiarkan seorang pemimpin bukan Islam dari DAP yang juga Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming membaca sepotong ayat Al-Quran ketika berkempen di salah satu tempat di Parlimen Bukit Gantang.

Ayat Quran yang saya yakin dari surah An-Nahl ayat 90 itu dibacakan Nga dihadapan ratusan ahli dan penyokong pembangkang termasuk umat Islam dari Pas serta penyokong DAP dan PKR.

Saya tidak ada masalah sekiranya Nga hanya membaca terjemahan ayat itu saja, tetapi yang timbul rasa tidak puas hati dan kemarahan saya ialah apabila beliau membacakan ayat suci Al-Quran semata-mata untuk kepentingan politik. Sudahlah dia bukan beragama Islam, bacaannya juga salah dan mencemarkan ayat-ayat suci Kitabullah itu.

Sebenarnya, adalah salah bukan Islam menggunakan ayat suci Al-Quran kerana dikhuatiri bacaannya tidak betul dari sudut tajwid dan sebutan. Tambahan pula, tujuan menggunakan ayat suci tersebut untuk tujuan tertentu.

Ini merupakan satu penghinaan kepada agama Islam dan umat Islam itu sendiri. Tidak sewajarnya rakan-rakan Islam dalam pakatan pembangkang membenarkan dan mengizinkan perkara ini berlaku. Jangan kerana hanya untuk mendapatkan pengaruh, sokongan, undi dan kuasa mereka `menjual' agama Islam.

Pihak berkuasa sewajarnya mencari pendekatan yang tegas agar perbuatan seperti itu tidak berulang lagi. Jika tidak, saya dikhuatiri akan wujud dan tercetusnya suasana tegang antara kaum dan agama di negara ini.

Justeru, saya menyarankan kepada Nga, supaya memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia, manakala kerajaan pula wajar bertindak sama ada menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau mengambil tindakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang menghina agama Islam.

Monday, April 6, 2009

KEPUTUSAN PENUH PERARAKAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT DUN SERKAM



P E R B A R I S A N

KATEGORI A


Johan
Sekolah Rendah Agama JAIM KAFA Tedong

Naib Johan
Sekolah Rendah Agama JAIM Serkam Tengah

Ketiga
Sekolah Kebangsaan Tedong

***************************************
KATEGORI B

Johan
Sekolah Rendah Agama JAIM Umbai

Naib Johan
Wanita dan Puteri UMNO Tedong Pekan

Ketiga
Wanita dan Puteri UMNO Paya Tanjung

****************************************

KATEGORI C

Johan
Kumpulan Yasin Masjid Kg. Serkam Pantai

Naib Johan
KRT Taman Seri Serkam

Ketiga
UMNO Tedong Pantai

*************************************

S E P A N D U K

KATEGORI A

Johan
Sekolah Rendah Agama JAIM Serkam Darat

Naib Johan
Sekolah Kebangsaan Serkam Darat

Ketiga
Sekolah Kebangsaan Sempang

*************************************

KATEGORI B

Johan
Sekolah Menengah Agama As-Saiyidah Khadijah

Naib Johan
Wanita dan Puteri UMNO Tedong Pekan

Ketiga
Wanita dan Puteri UMNO Bukit Tembakau

**************************************

KATEGORI C

Johan
Kendarat Wanita UMNO Tedong

Naib Johan
Pakat Bukit Kuda

Ketiga
Wanita UMNO Cawangan Umbai

KEMERIAHAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL




SERAMAI kira-kira 2,500 umat Islam membabitkan 45 pasukan dalam kawasan DUN Serkam, menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat DUN Serkam pada Sabtu lalu (4 April 2009).

Perarakan yang bermula dari Padang SK Serkam ke Masjid Kg. Seri Minyak sejauh 3 kilometer itu turut disertai beberapa pasukan dari jabatan dan agensi kerajaan, khususnya dalam daerah Jasin.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Akbar Ali serta Pegawai Daerah Jasin, Halim Ahmad bersama beberapa pegawai jabatan kerajaan turut sama menyertai perarakan berkenaan.

Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sama-sama memeriahkan sambutan itu. Antaranya, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Hj Ahmad Hamzah dan Mufti Melaka, Datuk Wira Rashid Redza Mohd Salleh.

Saya turut berterima kasih kepada jabatan dan agensi kerajaan, semua Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, semua Pengerusi dan ahli JKKK dalam DUN Serkam, Ketua dan ahli jawatankuasa UMNO, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan-cawangan DUN Serkam yang sama-sama menjayakan majlis ini.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua kakitangan japerun dan wakil-wakil media yang telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan sambutan ini. Tidak lupa juga kepada seluruh warga Kg. Serkam dan Seri Minyak yang sama-sama membantu dalam membuat persiapan tempat dan jamuan.

Diharap, hubungan kerjasama itu akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan DUN Serkam terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sunday, April 5, 2009

SELAMAT BERTUGAS PM KE-6

Bunga Melur kembang sekaki,
Mari dibungkus dengan kertas;
Di dalam telur lagi dinanti;

Inikan pula sudah menetas.


TANGGAL 3 April 2009, menyaksikan sejarah baru tercipta bagi negara kita apabila anak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien iaitu Datuk Seri Mohd Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Dengan upacara berkenaan, kini Datuk Seri Mohd Najib sah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru, menggantikan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Saya, mewakili penduduk pelbagai kaum di DUN Serkam mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Najib atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kita yang baru.

Bagi saya, harapan rakyat Malaysia kepada Datuk Seri Mohd Najib amat besar, kerana kejatuhan dan peningkatan negara ini bergantung di bahu beliau. Bagaimanapun, saya yakin dengan kemampuan beliau untuk mentadbir negara dengan baik, sambil dibantu semua barisan Kabinet barunya yang dijangka dibentuk Rabu ini.

Harapan saya kepada rakyat Malaysia agar terus menyokong dasar-dasar yang sedang dan akan dilahirkan oleh Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, demi keharmonian semua kaum di negara ini. Janganlah kita terlalu awal menilaikan seseorang itu, tanpa kita mencuba kemampuan seseorang itu.

Tahniah Datuk Seri Mohd Najib dan saya berdoa agar Allah S.W.T memberi petunjuk dan hidayah kepada kita semua.

Buat bangsal di Pulau Daik,
Menahan taut sambil mengilau;

Kalau asal benih yang baik,

Jatuh ke laut menjadi pulau.

TERIMA KASIH PAK LAH

SELURUH warga DUN Serkam, dengan rasa insaf dan rendah diri mengucapkan jutaan terima kasih atas jasa dan budi baik YA Bhg. Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi selama beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-5 dari 2003 hingga 2009.


Meski pun tempoh pemerintahan beliau tidak panjang seperti Perdana Menteri sebelum ini iaitu 22 tahun, namun saya yakin tempoh pendek bukan penghalang kepada kejayaan Pak Lah.


Sirah Khalifah Rasulullah S.A.W yang empat ketika menjadi pemimpin juga tidak lama, namun mereka tetap dilihat sangat berjaya dalam pemerintahan masing-masing dan mereka tetap diingat sampai bila-bila.


Panjang atau pendek pemerintahan atau pentadbiran seseorang adalah ketentuan Allah dan Malaysia sangat bertuah kerana diperintah oleh bekas-bekas Perdana Menteri yang berkaliber dan berdedikasi sehingga kita berupaya mengawal dan menghalang kerosakan serta perpecahan daripada berlaku di negara kita yang tercinta ini.


Harapan saya kepada Pak Lah selepas bersara ialah beliau akan terus menyumbang tenaga kepada negara dengan cara yang berbeza dan semoga Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak akan dapat menyambung perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara ke arah lebih hebat dari sebelumnya.


Saya serta warga DUN Serkam sentiasa mendoakan kesihatan Pak Lah dan berdoa segala jasa baik Pak Lah selama ini akan menerima ganjaran dari Allah S.W.T.


Terima kasih Pak Lah.!


Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.


Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.


Ayam rintik di pinggir hutan;
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan;
Seribu tahun terkenang juga.


Wednesday, April 1, 2009

PERUNTUKAN JKKK 2009



SEMUA Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan DUN Serkam, menerima peruntukan antara RM3,000 hingga RM9,000 bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kampung masing-masing.

Peruntukan itu bagi membolehkan semua JKKK melaksanakan aktiviti dengan membabitkan semua anggota masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan agama kerana dengan cara itu akan mengeratkan lagi hubungan setiakawan dan silaturahim antara penduduk.

Saya berharap, JKKK dapat
mengagihkan kepada semua komuniti serta persatuan yang ada di kawasan masing-masing bagi membolehkan pelbagai aktiviti, termasuk keagamaan dijalankan secara berkesan.

Wang peruntukan terbabit juga perlu dibelanjakan secara berhemah dan setiap aktiviti yang dianjurkan pula perlu membabitkan semua anggota masyarakat kampung.

Lakukanlah aktiviti yang bermanfaat untuk semua kerana ia akan memberi kesan positif kepada masyarakat keseluruhannya.