Monday, March 1, 2010

JAMUAN TAHUN BARU CINA PERINGKAT DUN SERKAM

Program telah diadakan pada 15hb. Febuari 2010 bertempat di Perkarangan Kompleks Japerun Serkam. Majlis ini turut dihadiri YB. Datuk Wira Haji Ahmad bin Hamzah, Ahli Parlimen Jasin, Senator Datuk Akbar Ali, Ahli Dewan Negara, Encik Khoo Ching Han, Ketua MCA Bahagian Jasin dan Encik Sinnayah A/L Muthusamy, Timbalan MIC Bahagian Jasin.
Dalam majlis juga YB. Datuk Haji Ghazale telah menyampaikan sumbangan kepada 30 orang golongan miskin kaum cina.

Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010


Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua rakyat Malaysia.

Semoga kita dapat memenuhi azam tahun baru kita dengan semangat yang memberangsangkan.

Bukan sekadar meraikan tahun yang baru dengan perayaan, tetapi dengan pengisian yang bermakna.

1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan...

1Malaysia: Melaka Maju 2010...

Tuesday, December 22, 2009

HARI KELUARGA DAN SUKAN RAKYAT JAPERUN SERKAM

Tuan Puan dijemput ke Hari Keluarga dan Sukan Rakyat 1Malaysia peringkat DUN Serkam, pada 25 dan 26 Disemberi 2009. Pelbagai aktiviti disediakan untuk anda. Program akan berlangsung di PIBT Umbai (karaoke) pada petang 25 Disember manakala 26 Disember (sukan rakyat) akan diadakan di SK Serkam Darat.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi dan mengunjungi JAPERUN Serkam.

Thursday, December 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH & TAHUN BARU 2010


ALHAMDULILLAH, saya amat-amat bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan kekuatan kepada saya untuk melaksanakan ibadah yang sangat dituntut oleh Islam iaitu menunaikan fardhu haji. Saya di sini sentiasa mendoakan agar negara, negeri, kawasan, serta kampung yang saya sayangi dan rindui sentiasa dilindungi Allah serta mendapat keberkatan dari Nya.

Esok (Khamis) kita bakal melangkah ke tahun baru hijriah. Tahun 1431 H ini diharap akan memberi azam dan semangat baru untuk kita terus berjuang memartabatkan Islam yang syumul selain berusaha ke arah kemantapan hidup bagi memastikan negara yang kita sayangi ini makmur, bukan saja dari segi sumber ekonominya, tetapi juga makmur dalam aspek perpaduan, silaturahim, kasih sayang sesama insan serta hormat menghormati sesama kita.

Apatah lagi, Melaka kini sedang menuju kepada status Negeri Maju bermula 1 Januari depan dan sebagai rakyat yang sayangkan negeri, kita sewajarnya memberikan sokongan kepada apa saja usaha yang baik untuk rakyat yang dilakukan pemimpin negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali Rustam.

Justeru, saya serta keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat menyambut Maal Hijrah serta menyambut Tahun Baru 2010 kepada, semua warga Malaysia, Melaka, khususnya DUN Serkam. Semoga pada tahun ini kita serta keluarga mendapat keberkatan hidup dari Allah SWT.

Mari lah kita bersama-sama mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita serta mengembeling tenaga bagi kemajuan setempat. Apa yang belum terlaksana dari tahun 2009, saya berharap kita sama-sama dapat berusaha melaksanakannya dengan segera demi kemajuan serta keharmonian masyarakat keseluruhannya. Marilah kita berkhidmat dengan lebih berkesan lagi bagi kemajuan masyarakat setempat kita.

Sekali lagi saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah serta selamat Tahun Baru 2010 semoga tahun ini akan tercapai serta terlaksanalah impian kita.

Sunday, November 22, 2009

SALAM AIDILADHA

SALAM kepada semua pembaca. Saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemaskini laman blog ini buat ketika ini, berikutan saya berada di Makkah untuk menunaikan Haji.

Saya mengharapkan doa daripada semua pembaca budiman sekalian. Salam Aidiladha dari saya dan keluarga.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walilahilhamd..

Sunday, November 8, 2009

SEMINAR PAS: BUKTI AHLI SEMAKIN KELIRU

SEMINAR Khas Pas yang berlangsung semalam membuktikan kekaburan masa depannya apabila ramai dikalangan ahlinya menunjukkan rasa keliru atas pendirian pucuk pimpinan termasuklah Presidennya, Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Nik Aziz.

Apa yang pasti, hasil daripada seminar yang kononnya diadakan bagi memperkasakan parti Pas yang semakin suram dan tenggelam ini bagaikan membuka pekung di dada bahawa impian untuk bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin Pas.

Menerusi seminar ini ternyata ketidakpuasan hati yang selama ini cuba disembunyikan terluah juga lantas mempertikaikan kerjasama politik yang dilakukan oleh Pas bersama DAP dan PKR.

Ada perwakilan lantang mempertikaikan hala tuju Pas dan mahukan pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu, selain gesaan terhadap pucuk pimpinan agar tidak mengenepikan idealogi semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Biarpun pada akhir seminar tersebut, Pas menetapkan lima resolusi sebagai matlamat parti tapi yang jelas bahawa antara resolusi tersebut secara tidak langsung mendedahkan bahawa sokongan golongan muda terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang semakin tenggelam.

Antara lain, Pas mahu meningkatkan kempennya yang bertemakan ‘Pas Untuk Semua’, iaitu tema yang digunakan selepas membentuk gabungan dengan DAP dan PKR sedangkan idealogi asal iaitu sebuah negara Islam langsung tidak disebutkan.

Sesungguhnya biarpun seminar tersebut diadakan bagi membingkan isu-isu dalamannya tetapi Pas masih lagi mahu ‘menjaga hati’ DAP dan PKR lantas pandangan untuk menegakkan perjuangan Islam tidak disebut kerana sudah pasti ia tidak diterima oleh DAP dan PKR.

Seminar tersebut diadakan ekoran polemik dalaman daripada pertentangan pendapat antara Hadi dan Nik Aziz lantas Nik Aziz mahukan Muktamar Khas (EGM) dibuat bagi menukar beberapa pemimpin parti itu yang bermasalah; bagi membersihkan parti daripada golongan prokerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO yang bertentangan keputusan Muktamar Pas Jun lalu.

Antara pemimpin yang disebut dalam blognya ialah Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Bagaimanapun pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat 28 Oktober lalu memutuskan untuk tidak mengadakan EGM sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan parti.

Tuesday, November 3, 2009

TUBUH 1 PARTI MEWAKILI BN: MASA BELUM SESUAI

PANDANGAN dan cadangan Ketua Pemuda Gerakan supaya menubuhkan satu parti tunggal atas nama Barisan Nasional (BN) saja masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini. Ini kerana, usaha sebenar yang perlu dilaksanakan, khususnya di kalangan parti komponen BN adalah menerapkan nilai-nilai 1Malaysia dengan sebati di kalangan rakyat Malaysia.

Sebenarnya, semua rakyat Malaysia perlu memahami, menjiwai, mematuhi, menerima dan menjayakan inti pati serta semangat yang ada dalam Perlembagaan Negara, dasar dan konsep yang diwujudkan ke arah perpaduan selain semangat muhibbah dalam semua aspek kehidupan rakyat Malaysia.

Contohnya, berkongsi kekayaan negara secara saksama bagi mengimbangi pengusaan ekonomi negara. Dasar pendidikan negara dijayakan dan perlu diterima tanpa mengutamakan kepentingan kaum. Contohnya, sekolah satu aliran perlu diterima oleh semua kaum tanpa perlu ada sekolah jenis kebangsaan lagi.

Semua kaum perlu akur semua yang tertulis dan dinyatakan dalam Perlembagaan Negara tanpa rasa curiga serta prasangka kepada kaum lain, kerana dengan kefahaman dan penjiwaan yang mendalam terhadap semua ini, sambil dilengkapi dengan dasar-dasar yang diwujudkan untuk kebaikan dan keutuhan bersama, barulah boleh bincang dan pertimbangkan pengwujudkan satu parti untuk semua kaum di negara ini.

Dah terlalu banyak kaum Bumiputera bertolak, berundur, beransur, bertolak, diundur dan diansur. Semuanya demi sikap dan semangat setiakawan yang tinggi di kalangan kaum Bumiputera.

Oleh itu, kaum lain juga perlu ingat dan pertimbangkan sumbangan mereka (Bumiputera) ke arah semangat dan penjiwaan setiakawan ini menuju kejayaan konsep 1Malaysia.